Dakwah Melalui Seni: Rahsia kejayaan Sunan Bonang.

SUNAN BONANG

Sunan Bonang antara wali songo yang menjayakan dakwah menggunakan wayang dan kesenian. Ini kisahnya.

Beliau dipanggil dengan nama Bonang kerana sering menggunakan gamelan bonang (sejenis gong kecil) dalam menyebarkan agama Islam. Sedangkan nama asalnya adalah Makhdum Ibrahim.

Kesenian rakyat digunakan beliau untuk menarik masyarakat yang masih beragama Hindu. Orang yang mendengar keseniannya akan berpusu-pusu ke masjid. Beliau jugalah yang mengembangkan lagu-lagu Jawa dengan diiringi gamelan bonang.

Apabila Sunan Bonang sendiri yang memukul bonang dengan kayu lembut bonang maka ia mengeluarkan bunyi yang sangat merdu.

Sunan Bonang adalah putera sulung kepada Sunan Ampel. Beliau menguasai ilmu fiqh, usuludin, tasawuf, seni, sastera, arkitek, dan berbagai ilmu ghaib.

Sunan Bonang dalam berdakwah di Jawa Tengah dan Timur menggunakan media wayang dan media sastera. Selain menghibur masyarakat, media wayang dan sastera yang dimainkan atau dinyanyikan oleh Sunan Bonang mengandungi konten tentang hakikat hidup dan ajaran-ajaran Islam yang dikemas dengan rapi.

Melalui media tersebut, telah memberikan pengaruh kepada masyarakat yang menganut agama hindu budha, menjadi penganut agama Islam.

Sunan Bonang menyesuaikan Islam sebagai ajaran yang bercantum dengan kebudayaan. Beliau telah mengubah gamelan Jawa yang saat itu sarat dengan nilai Hindu kepada nilai Islam. Lalu menjadikannya sebagai zikir yang mendorong kecintaan pada kehidupan bertuhan.

Nampaknya seni dakwah seperti Sunan Bonang ini telah ditinggalkan ummah kini. Mereka tidak nampak seni sebagai elemen dakwah. Mereka lebih cenderong menyatakan seni muzik, wayang, nyanyian dan lakonan adalah lagha, sia-sia dan haram.

Sedangkan elemen wayang dan sastera inilah yang telah menjayakan dakwah Sunan Bonang dan menjadi punca Tanah Jawa menjadi Islam.

Ayuh tukar pemikiran kita jangan melihat seni sebagai maksiat tetapi sebagai eleman dakwah seperti Sunan Bonang.

Sepatutnya para pendakwah bijak seperti Sunan Bonang dengan menggunakan kesenian dan hiburan sebagai eleman dakwah kerana jiwa melayu sangat sukakan seni dan hiburan. Bukan menjauhi hiburan.

Benarlah Firman Allah yang telah memerintahkan kecerdikan:

أَدْعُو إِلَى اللهِ عَلَى بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي

“Aku menyeru kepada Allah dengan kecerdikan dan bukti yang jelas nyata dan siapa yang mengikutiku.” [Yusuf(12):108]

Semoga dakwah seperti Sunan Bonang ini digarap kembali oleh kita. Jangan tinggalkan wayang, seni, teater, muzik dan hiburan kerana bimbang musuh Islam akan gunakan seni ini untuk hancurkan Islam dengannya.

Ustaz Pro bukan sekadar cerita tetapi pengubah minda, jiwa dan tindakan kita. Assalamualaikum.

Version 1.0

Copyright © 2021 All Right Reserved

Disclaimer

LIMITATION OF LIABILITY: This website is prepared by and is the property of MAQAS Management; neither it nor any part thereof nor a copy thereof is to be published or disclosed without first securing the express written approval from MAQAS.

Available Now