Tun Mahathir Dipecat Umno Tahun 1969

TUN MAHATHIR PERNAH DIPECAT


Tun Dr. Mahathir pernah dipecat dari UMNO pada tahun 1969 kerana menegur Tunku Abdul Rahman. Namun dia tetap berjuang.

Setelah pilihanraya umum pada 10 Mei 1969, menyaksikan Parti Perikatan kalah di beberapa buah kerusi penting. Kesannya tercetuslah peristiwa 13 Mei 1969, yang telah menggoncang pemerintahan Tunku Abdul Rahman.

Peristiwa 13 Mei ini menyebabkan Tun mengkritik pemerintahan Tunku. Beliau menuduh Tunku Abdul Rahman terlalu berlembut dengan tuntutan orang Cina sehingga berlakunya Peristiwa 13 Mei ini.

Sebagai makluman Tun telah kalah dalam Pilihanraya Umum tersebut di kawasan Parlimen Kota Setar Selatan. Beliau tewas dengan calon PAS, Haji Yussuf Rawa yang mendapat 13,201 undi dan Tun daripada Perikatan mendapat 12,032 undi.

Ini menyebabkan beliau lantang mengkritik kepimpinan Tunku Abdul Rahman melalui suratnya kepada Tunku bertarikh 17 Jun 1969.

Antara yang dikritik ialah cara Tunku menangani permasalahan orang Melayu sehingga berlakunya ketegangan kaum Melayu dan Cina.

Namun surat Tun Dr Mahathir telah “terbocor” dan disalin serta disebarkan secara meluas.

Tunku berpendapat Tun harus keluar dan dipecat daripada UMNO (Milne, 1982).

Akhirnya beliau telah digugurkan sebagai ahli Majlis Tertinggi UMNO pada 12 Julai 1969. Kemudian beliau dipecat dari UMNO pada 22 September 1969 dalam satu keputusan yang dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang bersidang khas untuk hal itu (Shafie Nor 1981: 9-10), tetapi Tunku tidak hadir dalam mesyuarat tersebut.

Seramai 25 orang menyokong dan 5 menentang penyingkiran Tun. Antara yang menentang ialah Syed Jaafar Albar dan Syed Nasir Ismail.

Antara yang turut dipecat adalah Musa Hitam. Beliau dipecat pada 28 Julai 1969. Musa Hitam selepas itu telah berangkat ke London untuk menyambung pelajaran.

Tun berada dalam buangan selama 21 bulan. Ini telah mematangkan beliau tentang politik dan UMNO serta pemodenan bangsa Melayu (Ahmad Atory Hussain 1993: 21).

Pemecatan Tun tidak menamatkan riwayat politik beliau di dalam UMNO.

Buat sementara, beliau menjadi “pemberontak” dalam buangan. Beliau tidak menyertai mana-mana parti politik pada waktu itu.

PAS dikatakan bersedia menerima beliau. Tun pernah muncul dalam satu rapat PAS untuk membidas pimpinan UMNO waktu itu yang beliau tuduh tidak begitu membela orang Melayu seperti yang dijanjikan (Business Times 19 Jun 1995).

Semasa menjalani tempoh pemecatannya, Tun menulis sebuah buku bertajuk The Malay Dilemma pada tahun 1971 yang diterbitkan di Singapura. Buku ini diharamkan di Malaysia dan ditarik balik ketika Tun menjadi Perdana Menteri.

Apabila berlaku perubahan kepimpinan UMNO yang diketuai oleh Tun Razak, pemulihan Tun mula menyusul dengan segera.

Namun UMNO tidak boleh membawa masuk beliau begitu saja. Beliau perlu membuat permohonan. Namun Tun tidak begitu ghairah berbuat demikian.

Datuk Harun Idris, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, pada 1971, telah pergi berjumpa sendiri dengan Tun di Alor Setar untuk menyakinkan bahawa tenaga beliau sangat diperlukan UMNO (Ibid.).

Akhirnya Tun pada 6 Februari 1972 membuat pemohonan dan diterima memasuki semula UMNO berdasarkan surat beliau kepada Tun Abdul Razak. The New Straits Times 7 Februari 1972; Shafie Nor 1981: 43).


Tun tidak menjadi ahli UMNO di Kedah, sebaliknya di cawangan Rawang, Selangor.

Selepas itu beliau memenangi kerusi Majlis Tertinggi dengan undi terbanyak dalam pemilihan jawatan parti 1972 (Far Eastern Economic Review 19 Mac 1976).

Kisah Tun Dr Mahathir ini adalah satu circle cabaran dan mehnah perjalanan pemimpin yang berani menegur kepimpinan.

Oleh itu mana-mana pemimpin yang dipecat, dibuang, dihina satu sahaja yang perlu dilakukan, istiqamahlah berjuang sampai kebenaran terserlah.

Allah suruh kita terus berjuang walaupun susah:

انفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا
Keluarlah kamu dalan keadaan ringan atau berat dalam berjuang (Taubah [41])

Teruskan bersama Ustaz Pro demi perubahan minda, jiwa dan tindakan kita.

Assalamualaikum

Version 1.0

Copyright © 2021 All Right Reserved

Disclaimer

LIMITATION OF LIABILITY: This website is prepared by and is the property of MAQAS Management; neither it nor any part thereof nor a copy thereof is to be published or disclosed without first securing the express written approval from MAQAS.

Available Now