Kisah Gagak dan Merak

Kita selalu melihat kegembiraan orang lain hinggakan kita melupakan kegembiraan yang kita miliki.

Mari dengarkan kisah burung gagak dengan burung merak berkenaan dengan kegembiraan.

Assalamualaikum.

Di saat burung gagak hidup di dalam hutan dan bebas untuk terbang ke mana saja ia merasakan puas dengan apa yang dimiliki. Sampailah satu hari ia melihat seekor angsa yang berwarna putih. Sang gagak merasakan cemburu melihat warna putih angsa itu.

Ia pun menghampiri sang angsa tadi lalu memuji dengan berkata: “seronoklah engkau wahai angsa kerana warnamu putih dan cantik sedangkan aku pula berwarna hitam.”

Mendengar ucapan itu sang angsa membalas: “Aku pun pada mulanya merasakan demikian tetapi apabila aku melihat burung kakak tua menyebabkan aku jadi cemburu kerana ia memiliki dua warna. Sedangkan aku hanya satu warna sahaja.”

Mendengar ucapan itu sang gagak pun terbang pergi bertemu dengan burung kakaktua. Setelah bertemu ia pun memuji burung kakaktua.

Mendengar pujian itu burung kakaktua membalas: “Tak! Ada lagi yang lebih cantik dari aku. Bahkan warnanya lebih menarik dari warna aku. Itulah burung merak.”

“Oh ya ka? Di mana aku boleh melihat burung merak itu.” Jawab burung kakaktua: “Ianya berada di zoo. Kau pergilah ke sana untuk melihat kecantikannya.”

Dengan semangatnya sang gagak terbang pergi ke zoo untuk melihat sendiri kecantikkan sang merak.

Bila burung gagak sampai ke zoo memang benar cantik sungguh si burung merak itu. Bahkan apabila ia mengembangkan bulunya menjadikan semua orang yang melihatnya merasa kagum dan terpersona.

Melihat hal tersebut lagilah menjadikan sang gagak merasakan dirinya tidak seuntung burung merak.

Ia pun menghampiri burung merak dan memuji kecantikannya. “Hebatnya engkau. Ramai orang terpersona denganmu dan sudah tentu engkau paling gembira dan bahagia dalam hidup ini.

Tidak seperti aku. Dahlah berwarna hitam lepas tu huduh pulak.”

Mendengar ucapan itu si merak pun berkata kepada burung gagak: “Betul kata kamu wahai gagak. Aku selalu merasakan akulah yang paling cantik dan aku lah yang paling bahagia kerana semua orang terpersona dengan aku. Bahkan tiada siapa pun yang boleh menandingi kecantikanku.

Namun bila aku bertemu dengan kamu wahai gagak aku merasakan kamu lagi untung dariku. Aku tidak boleh bebas terbang seperti kamu. Kehidupan aku hanya terbatas di dalam zoo ini sahaja. Sedangkan kamu boleh pergi ke mana saja yang kamu mahu. Hidup aku Di kawal oleh manusia dan segalanya sudah ditentukan bagi aku. Kamu pula bebas menentukan apa yang kamu mahu.
Sebenarnya kamu lebih untung dari aku, walaupun warna mu hitam tetapi kamu tidak terkongkong seperti ku.”

Mendengar ucapan si merak itu menyebabkan sang gagak tersentap dan tersentuh. Barulah ia tersedar betapa hidupnya selama ini, sangat beruntung berbanding dengan kehidupan si merak.

Walaupun ia cantik dan dia layan baik. Tetapi ia tidak ada kebebasan untuk menentukan hidupnya sendiri.

Cerita ini hanyalah rekayasa sahaja. Namun pengajarannya sangat realiti dalam kehidupan kita. Ini kerana ramai orang yang sudah memiliki sesuatu asyik membandingkan dengan apa yang dimiliki oleh orang lain. Sehingga kan dia melupakan nikmat yang dimilikinya sendiri. Menyebabkan hilanglah perasan puas hati dan syukur dijiwanya.

Biarlah kita sehitam sang gagak namun bebas dari kongkongan. Dari menjadi si merak yang terpenjara walaupun cantik dan bergaya. Syukuri apa yang dimiliki.

Firman Allah:
وَمَنْ يَشْكُرْ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِ
Siapa yang bersyukur maka faedahnya adalah untuk dirinya sendiri. (Lukman 12)

Ayuh terus kuat untuk mentransformasikan perasaan berpuashati dengan apa yang kita miliki demi kehidupan ini.

Assalamualaikum.

Version 1.0

Copyright © 2021 All Right Reserved

Disclaimer

LIMITATION OF LIABILITY: This website is prepared by and is the property of MAQAS Management; neither it nor any part thereof nor a copy thereof is to be published or disclosed without first securing the express written approval from MAQAS.

Available Now