MARSHMALLOW EXPERIMENT
Kenapa kejayaan kita tertangguh walaupun kita sudah berusaha sekuat mungkin.
Dalam tahun 1960an, seorang Profesor di Standford, bernama Walter Mischel, mencipta satu kajian untuk menguji kesanggupan manusia, untuk menangguhkan kepuasan atau kenikmatan mereka. Kajian ini di panggil Marshmallow Experiment. Kajian ini telah dilakukan ke atas ramai kanak-kanak. Mereka ditempatkan dalam satu bilik dan diletakkan depan mereka marshmallow. Mereka dilarang untuk makan marshmallow tersebut. Sebagai ganjaran, mereka yang berjaya menahan diri dari memakan marshmallow tersebut dalam masa yang ditetapkan, akan diberikan ganjaran satu lagi marshmallow.
Hasil kajian mendapati, tidak ramai kanak-kanak yang berjaya, menahan diri daripada memakan marshmallow yang berada di hadapan mereka. Hanya ada beberapa orang sahaja kanak-kanak yang berjaya menahan diri dan mendapat ganjaran dua marshmallow.
Apa yang menarik, setelah 40 tahun, penyelidik ini terus mengikuti perkembangan para pesertanya yang pernah mengikuti eksperimen tersebut. Didapati, mereka yang dahulunya telah berjaya dalam ujian itu, dalam keadaan lebih sihat, bertindak lebih baik kepada tekanan dan lebih berjaya dalam hampir semua bidang kehidupan. Sangat sedikit yang terlibat dalam penyalahguna kuasa dan menunjukkan kemahiran sosial yang lebih baik.
Apa yang boleh kita ambil dari kajian ini adalah, dari segi realitinya, tidak ramai manusia sanggup menangguhkan sekejap satu-satu kenikmatan atau kemenangan. Mereka lebih rela menang dan dapat ganjaran sekarang. Perasaan kecewa, marah, tidak puas hati pasti akan terlebih dahulu timbul bila kalah. Sebab itu yang penting kini adalah, kita perlu melatih diri kita untuk tenang, menerima sekejap kemenangan yang tertangguh, fikir balik nikmat yang sudah ada di tangan. Dan persoalan yang besar, kenapa kejayaan kita tertangguh adalah agar kemenangan itu nanti lebih banyak manfaat dari daripada menang sekarang. Seperti tangguh sekejap makan satu Marshmallow kerana ‘reward’nya dapat dua Marshmallow. Ujian Marshmallow membuktikan ketidak sabaran manusia untuk menikmati segera sesuatu itu, hanya mampu dihadapi oleh mereka yang terus berlatih memujuk diri untuk bersabar.
Ayuh transformasikan diri kita untuk kekal tenang dan meyakini kemenangn yang tertangguh lebih nikmat dari kemenangan sekarang.
Benarlah firman Allah, sabar adalah kuncinya:
يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوا اصْبِرُوْا وَصَابِرُوْا وَرَابِطُوْاۗ وَاتَّقُوا اللّٰهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُوْنَ
Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap-siaga dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beruntung.
(Al-Imran [3] 200)
Terus yakin, bahawa kemenangan pasti datang tepat pada masanya.
Assalamualaikum.