Sultan Alaeddin Sulaiman
Sultan Alaeddin Sulaiman, raja soleh yang mampu menulis kitab agama. Inilah permata bagi umat.
Sultan Alaeddin Sulaiman Shah adalah Sultan Selangor yang kelima. Memerintah dari tahun 1898 hingga 1938 (40 tahun tempoh pemerintahan baginda). Baginda adalah anak sulung kepada Raja Muda Musa dan cucu kepada Sultan Abdul Samad Sultan Selangor yang ke-4.
Pada 11 September 1865 baginda dilahirkan di Kampung Tengah, Kuala Selangor.
Baginda pada awalnya belajar melalui guru khas di Istana dan kemudian belajar bahasa Inggeris di Raffles School, Singapura. Setelah itu di Selangor Raja School, Kuala Lumpur. Baginda juga telah mendapat pendidikan agama yang sangat baik.
Sultan Alaeddin adalah raja yang sangat cenderung kepada agama, mengasihi ulama, cintakan ilmu pengetahuan dan seorang yang tegas.
Salah seorang guru baginda ialah Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku Abdul Rahman al-Fatani. Beliau tinggal di Mekah namun kemudiannya berhijrah ke Jambi, Sumatra pada 1925.
Apabila Sultan Alaeddin mendengar perkabaran beliau telah berpindah ke Jambi, baginda sendiri berkenan mencemar duli datang ke Jambi untuk menjemput Tengku Mahmud Zuhdi berpindah ke Selangor.
Pada tahun 1929 Tengku Mahmud Zuhdi berangkat ke Klang dan diamanahkan sebagai Penasihat Agama Selangor dan kemudian dilantik menjadi Syeikhul Islam Setia Diraja Selangor pada tahun 1935. Masa itu belum ada lagi gelaran mufti. Gelaran mufti hanya mula dipakai di Selangor pada tahun 1953.
Sultan Alaeddin Sulaiman pernah meminta Tengku Mahmud Zuhdi mengiringi baginda ke luar negara. Terutama ke London, bagi memastikan ulama ada bersama dalam rombongan baginda. Peristiwa ini mencerminkan bahawa Sultan Alaeddin Sulaiman berusaha menggabungkan kesepaduan antara umara’ dan ulama.
Kehebatan Sultan Alaeddin Sulaiman adalah, baginda merupakan sultan pertama yang menulis kitab atau buku agama. Buku-buku tersebut dijadikan rujukan sekolah-sekolah melayu ketika itu.
Tiga buah kitab yang ditulis baginda adalah, yang pertama: Kitab Pohon Ugama Bahagian Rukun Iman. Kedua Kitab Tauhid, bertajuk Kitab Melatih Kanak-Kanak Laki-laki dan Perempuan dan ketiga adalah, Nasehat (Pemilihan Guru) Melatih Kelakuan Perjalanan Adab Kanak-kanak Pelajaran di Dalam Sekolah Melayu – Agama – Negeri Selangor Darul Ehsan.
Ini membuktikan baginda adalah seorang sultan yang berkemampuan dan berwibawa dalam menegakkan Islam.
Tengku Mahmud Zuhdi pernah memberikan pandangan tentang Kitab Pohon Ugama: “Terlihatlah hamba yang daif atas kitab ini, Pohon Ugama, karangan bagi Yang Maha Mulia Sultan Selangor Maulana al-Mu‘azzam Sir Alaeddin Sulaiman Syah… Maka patut dijadikan pelajaran kanak-kanak yang mubtadi pada tiap-tiap sekolah ugama supaya berkekalan manfaatnya istimewa pula..”. Kandungan yang menjadi topik perbahasan keseluruhan ialah mengenai akidah.
Pada halaman 25 di dalam Kitab Pohon Ugama ini, terdapat gambar baginda sedang duduk di atas mimbar Masjid Alaeddin iaitu dalam rangka membaca khutbah.
Hasil penulisan ini walaupun ringkas, ia membuktikan kesungguhan baginda membudayakan ilmu dalam masyarakat yang dimulai dengan institusi istana dan dilebarkan kepada rakyat jelata. Ini didokong pula oleh golongan ulama yang menjadi penyuluh kepada kecerahan ilmu. Ini mencerminkan kesungguhan baginda bagi mengukuhkan Islam di bumi Selangor.
Semasa pemerintahannya juga, baginda telah mengarahkan pembinaan dua buah masjid jami’ iaitu Masjid Sultan Alaeddin di Jugra dan Masjid Sultan Sulaiman di Klang. Baginda juga sering menyampaikan khutbah solat Jumaat, Aidilfitri dan Aidiladha di masjid-masjid sekitar negeri Selangor. Ini membuktikan kredibiliti baginda yang bukan sahaja sebagai seorang pemerintah yang berdaulat, bahkan juga sebagai ketua agama Islam negeri yang sangat berwibawa. Baginda mangkat di Istana Mahkota, Klang dalam usia 72 tahun, dimakamkan di Klang dan diberi gelaran Marhum ‘Atiqullah.
Inilah permata umat dan penjaga agama yang benar.
Benarlah Sabda Nabi:
السلطانُ ظِلُّ الله في الأرض،
“Sultan adalah bayangan yakni Khalifah Allah di bumi.” [Riwayat Imam Suyuti]
Semoga akan lahir lagi sultan yang berstatus ulama sebegini pada suatu masa nanti. Amin Ya Rabbal Alamin.
Ustaz Pro
Assalamualaikum.