KISAH JORDAN KINYERA
Sanggupkah kita menjadi seperti Jordan Kinyera yang berjuang untuk mendapatkan kembali hak tanah milik ayahnya walaupun terpaksa mengambil masa 23 tahun. Jom dengarkan kisahnya.
Assalamualaikum
Ketika Jordan Kinyera berusia enam tahun, dia melihat ayahnya kehilangan tanah milik keluarga mereka di Uganda.
Kejadian ini berlaku pada tahun 1996. Ini berlaku kerana timbul satu pertikaian hak milik tanah dengan jiran mereka. Kes ini lalu dibawa ke muka pengadilan tetapi telah tersangkut di mahkamah begitu lama tidak dapat diselesaikan. Banyak sudah wang yang dihabiskan untuk mengupah peguam. Namun ianya tidak menghasilkan keputusan yang baik untuk mereka. Sampailah datang satu perintah mahkamah melarang ayahnya dari melakukan sebarang aktiviti di tanah tersebut.
Perkara yang terjadi itu sangat memberi kesan buruk kepada emosi, kesihatan dan kehidupan ayahnya.
Akibat tidak tahan melihat penderitaan ayahnya, Kinyera bertekad untuk belajar bidang undang-undang dengan memfokuskan kepada undang-undang tanah demi menuntut bela ke atas tanah milik ayahnya.
Kini setelah 23 tahun dia berpenat lelah mendalami latihan untuk mengambil bidang guaman, Kinyera telah berjaya membawa kembali kes ayahnya ke mahkamah.
Walaupun Kinyera tahu untuk memenangi kes ini sangat sukar. Tetapi dia tetap bertekad untuk memenanginya. Apa yang dilakukan ini adalah untuk mengelakkan ayahnya terus kecewa.
Sepanjang perbicaraan berlaku, ayah Kinyera memang dalam keadaan tidak sihat yang menyebabkan dia tidak mampu untuk hadir ke mahkamah.
Akhirnya setelah melalui perbicaraan, Mahkamah Tinggi Uganda telah memberikan keadilan kepada ayahnya untuk mendapatkan semula hak milikan tanah. Pengkhabaran kemenangan ini sangat menggembirakan ayahnya. Walaupun ayahnya ketika ini sudah berusia 82 tahun. Sudah tentu tidak banyak perkara yang boleh dibuat di tanah itu. Namun kemenangan itu sangat bermakna, kerana haknya dapat dituntut kembali.
Ini juga adalah satu kemenangan yang besar buat Kinyera. Usahanya yang bertahun-tahun ini membuahkan hasil.
Betapa sabarnya dan sanggupnya Kinyera menanti satu tempoh yang lama demi mencapai hasrat ayahnya. Tidak ramai yang sanggup melakukan perkara sebegini. Ramai yang lebih rela menumpang kejayaan orang lain, atau menyerah kalah.
Apa yang berlaku kepada Kinyera adalah satu kemenangan yang sebenar walaupun mengambil masa lama untuk dicapai.
Kinyera tidak menyerahkan nasibnya untuk diperjuangkan oleh orang lain. Sifat Kinyera ini betul-betul melahirkan seorang yang berjiwa merdeka dan bebas dari sebarang kongkongan. Sudah tidak ada ketakutan dan kesedihan lagi dalam hidupnya.
Sepatutnya kita juga perlu menjadi seperti Kinyera. Berani berjuang dan tidak takut untuk mengambil masa yang lama demi memperjuangkan hak. Inilah jiwa yang merdeka.
Benarlah Firman Allah:
إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا الله ثُمَّ اسْتَقَامُوا فَلاَ خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلاَ هُمْ يَحْزَنُونَ
Sesungguhnya orang yang berkata Tuhan Kami Allah kemudian istiqamah maka tidak ada ketakutan dan kesedihan bagi mereka [al-Ahqaf(46):13]
Ayuh terus kuat untuk menjadi insan seperti Kinyera yang tidak takut merempuh masa, demi mendapatkan semula hak dan keadilan.
Bersamalah Ustaz Pro.
Assalamualaikum.