SULTAN BAYEZID II
Penyelamat Yahudi Sepanyol
Sultan Bayezid II membawa 150 ribu Yahudi Sepanyol yang diancam bunuh Raja Ferdinand untuk berpindah ke Uthmaniyyah.
Di dalam satu artikel bertajuk ‘EXODUS OF JEWS FROM SPAIN OTTOMAN EMPIRE-A SAFE HEAVEN FOR JEWS’, menceritakan bagaimana Sultan Bayezid II anak sulung Sultan Muhammad al-Fatih yang menggantikan pemerintahnya, telah menyelamatkan Yahudi yang tinggal di Sepanyol dari dibunuh oleh Raja Ferdinand.
Setelah Raja Ferdinand dari Aragon dan Ratu Isabella dari Castile berkahwin dan mereka menyatukan negara Sepanyol di bawah satu pemerintahan, maka akhirnya mereka berjaya menakluki Granada pada 2 Januari 1492.
Setelah kekalahan di Granada yang merupakan benteng terakhir Islam di Andalus, maka berlakulah apa yang dipanggil ‘Spanish Inquisition’ iaitu pemaksaan dan penyiksaan orang Islam dan Yahudi untuk murtad dan masuk kristian. Bagi yang enggan masuk Kristian, mereka hendaklah keluar meninggalkan Sepanyol.
Pada bulan Julai 1492 pihak Kristian mengusir Umat Islam dan Yahudi yang enggan murtad keluar dari Sepanyol. Kejadian ini menjadi ancaman kepada Yahudi dan Islam yang berada di Sepanyol.
Peristiwa ini menyebabkan Sultan Bayezid II menghantar angkatan Tentera Laut Uthmaniyyah di bawah Laksamana Kemal Reis ke Sepanyol untuk menyelamatkan dan memindah orang Yahudi dan Islam ke Negara Uthmaniyyah.
Lebih 150 ribu pelarian Yahudi berjaya dibawa untuk mendapat perlindungan di bawah Empayar Uthmaniyah. Bahkan Sultan Bayezid II mengarahkan kepada seluruh wilayah Eropah di bawah Uthmaniyah untuk menyambut baik kedatangan Yahudi ini.
Ramai orang Yahudi yang cuba berhijrah dengan kapal lain, namun mereka disembelih oleh lanun yang merompak mereka ditengah perjalanan.
Tetapi Yahudi yang dibawa oleh kapal-kapal Uthmaniyyah, mereka terselamat dan hidup aman di Tanah Uthamniyyah berabad-abad lamanya selepas itu. Lanun, tidak berani menyerang kapal Tentera Laut Uthmaniyyah ini. (Sila rujuk website: artichaeology.com/expelling-of-jews-from-spain)
Setelah orang Yahudi ini dipindahkan ke Uthmaniyah mereka banyak menempatkan diri di beberapa wilayah antaranya Istanbul, Edirne, Salonika, Safed dan Izmir. Kawasan-kawasan ini menjadi tempat perkembangan budaya Yahudi Sephardi yakni Yahudi yang berasal dari Sepanyol. (Sila Rujuk artikel bertajuk JEWISH LIFE IN ISTANBUL FROM THE OTTOMANS TO MODERN TIMES di web istanbultarihi.ist)
Yahudi Sephardi yakni Yahudi Sepanyol ini tidak diasingkan dari bercampur dengan masyarakat tempatan. Bahkan mereka hidup di kalangan rakyat Uthmaniyah yang lain.
Begitulah Islam yang tidak pernah menindas orang tidak Islam. Walaupun kepada bangsa Yahudi, mereka perlu diselamatkan ketika terancam. Tindakan Sultan Bayezid II ini memberikan gambaran, kita umat Islam sanggup berkongsi tanah dengan orang lain demi keselamatan mereka.
Apa yang berlaku di Palestin menunjukkan belum tentu Yahudi sanggup berkongsi tanah dan kekayaan dengan orang Islam. Tetapi Islam pernah berkongsi tanah dan kekayaan dengan Yahudi di dalam negara Islam.
Sebab itulah umat Islam tidak boleh mengizinkan diri mereka lemah dan duduk di bawah kekuasaan lain. Ini kerana nasib mereka belum tentu selamat di bawah orang lain. Tetapi nasib bangsa lain akan selamat apabila Islam memerintah dan kuat. Islam mengharamkan umatnya dari menindas orang lain. Sejarah telah membuktikannya.
Sabda Nabi:
الإسلام يَعْلُو ولا يُعْلَى
Islam itu tinggi tidak ada yang boleh lebih tinggi darinya. [Hadis Hasan riwayat al-Baihaqi]
Kisah Sultan Bayezid II ini menjadikan satu inspirasi untuk kita berjuang menaikkan semula Islam kembali di tempatnya, agar semua pihak akan selamat dan aman. Kita juga perlu berjuang supaya kita berada di atas bukan di bawah untuk mengelakkan dari kita ditindas. Ayuh usahakannya!
Ustaz Pro
Assalamualaikum.