Podcast
Jom kita cetak kembali Syeikh Ahmad Yasin dalam diri kita ini. Demi mengalahkam Israel dan sekutunya.
Assalamualaikum
Ramai orang mengagumi Syeikh Ahmad Yasin. Tetapi tidak ramai yang mahu menjadi seperti beliau. Ini kerana ramai yang menyangka, ketokohan Syeikh Ahmad Yasin amat sukar untuk diikuti. Sedangkan jika kita perhatikan sebenarnya Syeikh Ahmad Yasin hanyalah ustaz biasa. Tetapi memiliki dua sifat yang hebat. Pertama sikapnya yang Istiqamah dan kedua keberaniannya yang tidak mudah menyerah kalah. Dua senjata ini sudah memadai untuk menakutkan Israel. Siapakah sebenarnya Syeikh Ahmad Yasin ini? Mari kita kenalinya.
Beliau dilahirkan di Al-Jura Palestin pada tahun 1937. Ketika beliau berusia tiga tahun bapanya sudah meninggal dunia. Semasa berlaku peperangan Arab Israel 1948 beliau dan keluarganya berpindah dari Al-Jura ke kem pelarian Al-Shati. Ketika usianya 12 tahun beliau mengalami kecederaan tulang belakang yang serius kerana bergusti dengan kawannya. Akibat dari itu beliau lumpuh seumur hidup. Beliau menyambung pengajiannya di al- Azhar Mesir, namun tidak berjaya menamatkan pengajian kerana masalah kesihatannya.
Walaupun begitu beliau menyambung pelajaran yang di rumah. Minatnya tertumpu kepada agama, politik, sosiologi dan ekonomi. Susuknya mula dikenali ketika sering memberi khutbah jumaat di sekitar Gaza. Beliau menjadi guru bahasa Arab di sebuah Pra sekolah di Gaza. Setelah ekonominya agak stabil beliau berkahwin dengan Halimah Yasin pada tahun 1960 ketika berusia 22 tahun dan dikurniakan 11 orang anak.
Pada tahun 1973 beliau menubuhkan NGO kebajikan yang bernama Mujamma’ al Islamiah yang dinaungi Ikhwanul Muslimin. Namun pada tahun 1984 beliau dipenjara kerana melakukan aktiviti mengumpulkan senjata secara rahsia. Kemudian beliau dibebaskan dari penjara pada tahun 1985. Semasa berlaku Intifadah yang pertama pada tahun 1987, Syeikh Ahmad Yasin bersama Abdul Aziz Rantisi menubuhkan sayap tentera di bawah cabang Ikhwanul Muslimin yang dikenali sebagai al-Harakah al Muqawwamah alIslamiah (HAMAS).
Beliau dilantik sebagai Mursyidul Am. Pada tahun 1989 beliau ditahan lagi dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup oleh Israel. Pada tahun 1997 beliau dibebaskan melalui Perjanjian dengan Jordan ekoran tertangkapnya agen Mossad kerana gagal dalam usaha membunuh Khalid Masy’al di Jordan. Syeikh Ahmad Yasin ditukar dengan dua agen Mossad yang ditawan oleh Jordan. Sejurus dibebaskan beliau terus memimpin Hamas dan menyeru agar serangan berterusan ke atas Israel dilakukan.
Pada 6 September 2003 Jet F16 Israel membedil bangunan di Gaza dengan menyasarkan Syeikh Ahmad Yasin. Beliau cedera tetapi masih hidup. Selepas dirawat beliau mengeluarkan kenyataan bahawa Hamas akan terus dengan operasinya walaupun setiap pemimpinnya dibunuh, kerana mati syahid memang menjadi harapan setiap anggota Hamas. Walaupun selepas beberapa kali cubaan membunuhnya, beliau tetap melakukan rutin harian seperti biasa. Tanpa ada kawalan pengawal peribadi. Bahkan wartawan yang ingin menemuinya pun tidak perlu temu janji dan boleh menemuinya dengan mudah. Ada ketikanya beliau juga menawarkan rundingan dengan pihak Israel.
Pada 1999 beliau menyebut dalam sebuah temu bual dengan media Arab dengan ucapan: ” Ayuh selesaikan pertelingkahan ini mengikut persempadanan 1967. Ayuh persetujui genjatan senjata. Biar generasi akan datang pula yang menentukan keputusan mereka di masa hadapan.” Tandanya beliau juga inginkan perdamaian dan bukan hanya tahu soal perang sahaja. Pada 22 Mac 2004 pada usia 67 tahun bila telah syahid dalam serangan udara oleh helikopter Aparchy ketika pulang dari solat subuh dari masjid yang jaraknya hanyalah 100 meter dari rumahnya.
Walaupun beliau cacat kekal sejak kecil, Syed Yasin berjaya jadi pembakar semangat untuk anakanak Palestin hanya menggunakan lidahnya sahaja. Hinggakan namanya tetap disebut sampai hari ini. Jika kita ambil contoh dari watak Syeikh Ahmad Yasin ini, maka tidak perlu pun kita menjadi orang hebat. Bahkan cukup sekadar menjadi orang biasa tetapi berani untuk menjadi penggerak kepada kebangkitan.
Mari kita gerakkan lidah kita seperti Syiekh Ahmad Yasin, untuk membangkitkan kesedaran anak muda dan orang ramai agar kembali berusaha untuk menguasai ekonomi, politik, kekayaan, maruah, kebendaan dan segala perkara yang manjadikan kita kuat. Marilah kita memimpin mereka, supaya mereka akan bangun menuju ke hadapan dan bukannya berundur ke belakang. Ingat kita bukan mengajak anak bangsa kita untuk berperang tetapi kita mengajak mereka melakukan perubahan dan berusaha menguasai kembali dunia ini. Jika itu kita mampu lakukan kita telah menjadi seperti Syed Ahmad Yasin yang memimpin dan menggerakkan lidahnya untuk membangkitkan ummah.
Firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا أَنصَارَ اللهَِّ
Wahai orang beriman jadilah kamu pembantu agama Allah.
(al-Saff 14)
Ayuh terus kuat untuk mentransformasikan diri kita agar menjadi penggerak yang mampu membangunkan ummah agar satu hari nanti Palestin akan dibebaskan.
Assalamualaikum.