KOMPAS MELAYU
Tahukah anda orang Melayu sudah memiliki kompas untuk melakukan pelayaran di lautan sebelum orang lain.
Assalamualaikum.
Seorang pengkaji yang bernama John Crawford telah menulis di dalam bukunya ‘A Descriptive Dictionary of the Indian Islands and Adjacent Countries’ bahawa orang Melayu telah menggunakan kompas sebelum orang Eropah.
Menurut Dr. Hasanudin Yusof dalam bukunya Teknologi Kesultanan Melaka bahawa pelayar-pelayar Melayu amat mahir menentukan arah ketika berlayar hanya dengan melihat bintang-bintang di langit. Bintang-bintang ini dinamakan sebagai bintang pedoman.
Maknanya walaupun tanpa kompas pun pada asalnya orang Melayu memang sudah mahir melihat bintang dan alam sebagai panduan pelayaran.
Michael Adas seorang pengkaji menyatakan orang Melayu telah mencipta dan menggunakan kompas bermagnet yang hampir sama dengan ciri kompas moden.
Kompas ini dikenali dengan nama Padoman ataupun Pandoman asal perkataan pedoman. Pada Padoman ini diletakkan jarum bagi menunjukkan arah.
Kompas kuno Melayu ini terbahagi kepada 16 bahagian penunjuk arah yang mana empat daripadanya menunjukkan arah yang utama iaitu Timur, Barat, Utara dan Selatan.
Manakala 12 bahagian yang lain menunjukkan arah-arah yang lain.
John Crawford menyatakan lagi bawa, dengan sebab itu kuil-kuil Hindu kuno di Jawa dibina dengan memiliki ketepatan arah yang mengejutkan yang mana pintu hadapannya dibina menghala ke Barat dan Timur.
Tandanya mereka mengetahui tentang panduan arah.
Selain itu John Crawford juga menyatakan, ketika Portugis tiba di India, mereka mendapati bahawa pedagang-pedagang Islam berlayar ke Timur dengan menggunakan kompas.
John Crawford seterusnya menyatakan bahawa di antara tahun 1505 hingga 1506, terdapat seorang pelayar Portugis yang berlayar di antara kepulauan-kepulauan di Nusantara. Ketika beliau belayar dari Borneo ke Jawa, beliau mendapati bahawa seorang pemilik kapal di Jawa telah belayar dengan membawa kompas yang menggunakan magnet.
Sejarah ini menunjukkan bahawa bangsa Melayu sudah memiliki teknologi sebelum kedatangan Islam lagi. Sebab itu sejarah sebegini harus diterokai oleh kita supaya kita tidak merasa lemah dan menyatakan bangsa kita tidak kuat.
Ini bukan Assobiyah tetapi ini lebih kepada memperkukuhkan kekuatan kita yang selama ini dipertikaikan.
Moga dengan mengetahui kehebatan ini menjadi pemangkin untuk kita melihat lebih dalam lagi siapakah nenek moyang kita dan apakah kehebatan mereka di zaman dulu. Agar kita boleh meniru kehebatan itu kembali.
Firman Allah:
وَلِلَّهِ الْعِزَّةُ وَلِرَسُولِهِ وَلِلْمُؤْمِنِينَ
“Bagi Allah, Rasul dan orang beriman itu kehebatan.” [al-Munafiqun (8)]
Ayuh transformasikan kehebatan kita sebagai Melayu Muslim dan terus kuat demi perubahan.