Loteri UMNO Malaya

LOTERI UMNO MALAYA

UMNO pernah melancarkan Loteri Umno Malaya pada tahun 1953. Kenapakah demikian? Jom kita selusurinya.

Abu Hanifah Bin Jamil dalam Jurnal Sejarah Universiti Malaya pernah menulis artikel bertajuk LOTERI UMNO MALAYA 1946 – 1969 menyatakan, pada awalnya, loteri ini dicadangkan oleh Haji Rejab Kedah pada September 1946 yang mewakili Kesatuan Melayu Kedah. Beliau memohon Setiausaha Agong UMNO mendapat nasihat Mufti UMNO untuk membenarkan Kesatuan Melayu Kedah menjalankan loteri untuk kebajikan kerana kutipan derma kebajikan kurang berjaya.

Setiausaha Agong Perikatan Melayu Perak Mohd Hashim Bin Mohd Dris turut mencadangkan perkara yang sama. Beliau menyatakan Jabatan Agama Islam dan Adat Perikatan negeri Perak tidak meluluskan permohonan loteri tersebut.

Cetusan idea loteri ini sebenarnya kerana melihat kewujudan Loteri MCA yang dimulakan sejak awal tahun 1950-an lagi, bagi membantu kebajikan masyarakat Cina.

Penganjuran Loteri UMNO Malaya secara besaran mendapat sokongan penuh majoriti ahli UMNO di Tanah Melayu.

Berdasarkan keputusan Persidangan Mesyuarat Agung UMNO kali ke- 7 yang diadakan di Seberang Prai, UMNO sebulat suara membenarkan dan bersetuju mengadakan Loteri UMNO Malaya. Pengerusi UMNO Tunku Abdul Rahman bersama jawatankuasa kerja UMNO menyokong penuh loteri ini.

Pengenalan Loteri UMNO Malaya di Tanah Melayu mengundang polemik antara pemerintah, ahli agama, ahli politik dan orang awam. Dalam perjumpaan alim ulama di Kuala Kangsar bagi membincangkan hukum loteri, para ulama tidak dapat mencapai kata sepakat. Namun majoriti berpendapat ianya haram.

Polemik ini menyebabkan UMNO turut merujuk pandangan ulama luar negara. Antaranya adalah pendapat Sheikh Rahman Isa Pengarah Pengajian Islam dan Bahasa Arab di Universiti al-Azhar. Beliau mengeluarkan fatwa bahawa jualan, pembelian dan penerimaan hadiah loteri diizinkan menurut Islam dan tidak haram kerana tujuan kebajikan. Maka loteri kebajikan adalah harus pada syarak.

Mufti Terengganu, Tuan Yusof Alzawawi turut mengeluarkan fatwa loteri adalah halal. Keputusan ini mendapat perkenan Sultan Terengganu. Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Negeri Terenganu, Encik Bachik Bin Abdul Jalal menjadikan fatwa ini sebagai sandaran keharusan loteri di negeri itu. Terengganu tidak akan mengikuti tindakan kerajaan Kelantan yang mengharamkan penggunaan wang loteri.

Keputusan Fatwa Terengganu turut disokong Jabatan Agama Johor yang membenarkan wang loteri untuk tujuan umat Islam seperti membina surau.

Namun fatwa Sheikh Rahman Isa tentang keharusan loteri ini, dikecam hebat oleh ulama Singapura iaitu Tuan al-Shaikh Bin Shaikh Balfagih.

Majlis Ulama Perak juga menyatakan pengharaman loteri kerana selaras dengan pandangan majoriti ulama di Tanah Melayu.

Pengharaman ini juga bertepatan dengan Undang-undang Persekutuan Tanah Melayu bernombor 26, tahun 1953 yang menyebutkan bahawa loteri adalah sejenis perjudian.

Mufti Pulau Pinang dan Seberang Perai Tuan Haji Abdullah Fahim juga menegaskan Loteri UMNO Malaya adalah haram. Keputusan ini dicapai dalam persidangan para alim ulama di Madrasah Al-Khairiah yang dihadiri 50 orang alim ulama.

Ekoran fatwa yang mengharamkan loteri oleh sebahagian ulama pada tahun 1951, maka Setiausaha Loteri UMNO Malaya telah menghantar surat kepada Bendahari UMNO Malaya. Namun fatwa ini tidak diendahkan oleh UMNO. Menjelang tahun 1953, loteri dilancarkan sebagai antara sumber ekonomi UMNO.

Pada 7 Jun 1953, loteri ini dilancarkan di Johor Bharu. Namun kerana bulan puasa, ianya ditunda pada 19 Jun 1953 bersamaan hari Jumaat. Tempat pembukaan loteri adalah di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur dengan sasaran kutipan 1 juta. Akhbar Utusan Melayu telah mewar-warkan loteri ini pada 27 Mei 1953. Penjualan loteri hanya dibenarkan kepada ahli UMNO sahaja. Setiap tiket dijual dengan harga $1.

Sikap UMNO yang ingin membela kebajikan orang Melayu telah mengatasi hukum hakam loteri itu sendiri. Tunku sendiri menempelak golongan yang mengatakan Loteri UMNO haram, tetapi tidak menyumbang apa-apa usaha.

Pengajaran dari sejarah ini, penganjuran loteri UMNO Malaya ini telah berjaya membawa kebajikan kepada ahli UMNO. Pada masa yang sama ulama sendiri berbeza pandangan berkenaan hukum loteri. Walaupun memang pandangan yang lebih tepat adalah loteri itu haram. Di sini membuktikan sifat tidak mahu bergantung harap kepada orang lain menyebabkan orang terdahulu mencari jalan membela bangsa ini. Namun kerana kelemahan ilmu dan ekonomi orang melayu, para ulama pula masih berselisih berkenaan hukum loteri, maka timbullah cadangan ini.

Kisah ini menjadikan pengajaran kepada kita bahawa, kemiskinan akan membuat kita terdesak mencari jalan keluar. Loteri UMNO ini adalah jalan cepat membantu orang Melayu dari kesusahan.

Sebab itu jangan izinkan umat Islam berada dalam kelemahan ilmu dan ekonomi kerana bimbang agama pun akan diketepikan bila dalam kepapaan.

Benarlah doa Nabi:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْفَقْرِ وَالْقِلَّةِ وَالذِّلَّةِ
Ya Allah aku berlindung denganmu dari fakir, dari sedikit amal dan kehinaan. [HS Ahmad]

Menjadi tanggungjawab kita menguatkan ilmu, ekonomi dan penguasaan umat Islam agar tidak lagi jatuh dalam perkara sebegini.

Ustaz Pro bukan sekadar cerita tetapi pengubah jiwa, minda dan usaha kita demi tranformasi semua.
Assalamualaikum.

Version 1.0

Copyright © 2021 All Right Reserved

Disclaimer

LIMITATION OF LIABILITY: This website is prepared by and is the property of MAQAS Management; neither it nor any part thereof nor a copy thereof is to be published or disclosed without first securing the express written approval from MAQAS.

Available Now