Podcast
Kini timbul isu bendera putih di negara kita. Ada yang membantah dan ada yang mengambil kesempatan untuk menunjukkan kerajaan gagal. Mari kita lihat apakah maksud sebenarnya bendera putih ini.
Assalamualaikum.
Mengikut catatan Publius Cornelius Tacitus iaitu seorang penulis Rom, mengibar bendera putih dalam sesuatu peperangan merupakan simbol kepada penyerahan kalah. Menerusi buku Historiae yang ditulis oleh beliau, bendera putih telah digunakan dalam Pertempuran Cremona yang Kedua, yang terjadi antara bangsa Vitellia dan Vespasia pada Oktober tahun 69 masihi. Pihak Vespasia telah mengibarkan bendera putih sebagai tanda kekalahan dan menyerah diri. Ada tulisan yang menyebut bahawa dalam zaman Dinasti Han Timur di China sekitar tahun 220 masihi, warna putih adalah simbol kematian dan berkabung, ia juga menjadi simbol kesedihan.
Di dalam Kerajaan Islam sendiri sejarah menunjukkan Kerajaan Umayyah menggunakan warna putih sebagai memperingati peperangan Badr dan Nabi Muhammad S.A.W. Di Tanah Melayu pula iaitu pada tahun 1867, di Pulau Pinang, terjadi pertembungan kongsi gelap antara bendera putih yang dinaungi kongsi gelap Ghee Hin dan bendera merah yang mewakili Toh Peh Kong.
Sejarah ini ditulis dalam buku tulisan Profesor Dr Mahani Musa yang berjudul, “Malays and the Red and White Flag Societies in Penang, 1830s-1920s” Warna putih boleh mendatangkan persepsi dan interpretasi yang berbeza bagi sesetengah orang atau kumpulan. Putih dalam bendera Malaysia membawa makna bersih, suci, mulia dan keluhuran. Dalam peperangan, bendera putih ialah warna ‘cease fire’, bertujuan untuk rundingan, gencatan senjata atau boleh juga digunakan sebagai simbol kekalahan. Dalam Convention Geneva, “Practice Relating to Rule 58, Improper Use of White Flag of Truce”, melarang salahguna bendera putih yang sepatutnya digunakan sebagai gencatan senjata dan penyerahan kalah tetapi digunakan tipuhelah dalam peperangan.
Pada bulan Mac 2020, Istana Diraja Belgium di Brussels mengibar bendera putih sebagai sokongan dan terima kasih kepada frontliners, barisan hadapan petugas yang menangani covid19. Oleh itu kesimpulannya, bila ada sesiapa yang mentafsirkan apaapa sahaja tentang maksud warna putih pada bendera, tiada siapa yang salah dan tiada siapa yang betul, terpulang pada data dan pengalaman seseorang. Namun yang pasti semua bersetuju pada satu perkara, iaitu sesiapa yang memerlukan bantuan hendaklah dibantu, tak kira sama ada mereka mengebarkan bendera putih atau pun tidak dan apa jua fahaman agama, bangsa dan politik mereka.
Kini telah menjadi kefahaman awam dalam dalam konteks negara kita pada hari ini, kain putih, sama ada bendera atau apa-apa jenis kain putih yang diletakkan di depan rumah, menandakan bahawa si penghuni rumah perlukan bantuan. Siapa pun yang memulakan kempen tersebut, sama ada ikhlas atau ada agenda tertentu, yang menjadi keutamaan, ialah kita selesaikan dahulu keperluan mereka yang memerlukan bantuan.
Mungkin dengan cara ini, agenda buruk mengebarkan bendera putih untuk menunjukkan tanda kerajaan gagal akan ‘makan tuan’ atau menjadi tawar. Manakala yang ikhlas membantu tetap mendapat pahala dan kebaikan disisi Allah. Jika selepas ini bendera putih berubah menjadi gelombang politik untuk memburukkan kerajaan, maka ketika itu perbuatan itu wajar dibantah. Namun sebelum itu berlaku, fokus dahulu kepada keperluan mendesak saudara kita yang dalam kesusahan. Dalam situasi darurat ini, ayuh kita sama-sama tinggalkan perbalahan atau perdebatan yang sia-sia, mari kita sama-sama terus kuat, membantu mengikut kadar mampu masing- masing.
Mari kita transformasikan peranan kita dan jangan layan perangkap musuh terhadap kita.
Firman Allah:
وَتَعَاوَنُواْ عَلَى الْبرِّ وَالتَّقْوَى وَلاَ تَعَاوَنُواْ عَلَى الإِثْمِ
وَالْعُدْوَانِ
Saling membantulah atas kebaikan dan takwa dan janganlah membantu atas dosa dan permusuhan.
(al-Maidah: 2)
Assalamualaikum.