DR BURHANUDDIN AL-HELMY
Pandangannya berkenaan cinta bangsa
Apa pandangan Dr Burhanuddin al-Helmy seorang tokoh gerakan Islam berkenaan mencintai bangsa sendiri atau perjuangan nasionalis.-
Dr. Burhanuddin al-Helmy seterusnya berkata seperti berikut:-
“Dalam Al-Quran banyak menyebut perkataan umat, iman, kaum, qaba’il, syu’ub dan sebagainya itu semua terang menunjukkan puak, gabak, bangsa dan kebangsaan dari zaman ke zaman. Kerana memang telah menjadi tabi’i atau tabiat semula jadi seseorang itu kasihkan dirinya sendiri lebih daripada kasih orang lain kepada anak-anak itu, kasih suami kepada isteri, kasih kerabat tertentu lebih daripada orang yang tiada kena mengena dengannya. Maka demikian jualah kasih suatu bangsa itu tentu lebih kepada bangsanya sendiri menurut yang diterangkan oleh Al-Quran itu.
Jika suatu bangsa itu sudah tidak kasih kepada bangsanya sendiri, maka bolehkah bangsa lain yang akan diharap kasihkan dan membelakan bangsanya? Bolehkah satu-satu bangsa seperti bangsa Melayu, tidak mahu berjuang dengan berkorban membela bangsanya sendiri? Diharapkan pula bangsa lain seperti bangsa Putih pula berkorban untuk membela bangsa Melayu.
Soal membela puak, qabak, bangsa dan kebangsaan bukanlah soal baharu, bahkan sudah dijalankan oleh Nabi-nabi dan Rasul-rasul dari zaman berzaman lagi. Mereka membawakan ajaran agama atau peraturan untuk keselamatan dan keamanan sesuatu kaum atau bangsa itu. Kesimpulannya, untuk memperbaiki bangsa dari masa ke semasa, Tuhan datangkan Nabi-nabi dan Rasul-rasul membawakan berbagai corak syariat dan peraturan kepada bangsa atau kaum itu.”
Sumber: Kamarudin Jaffar. 2000. Dr. Burhanuddin al-Helmy : Pemikiran dan Perjuangan. IKDAS Sdn. Bhd. Hlm 92-93
Dr Burhanudin sendiri tidak menafikan peranan nasionalis dalam membawa Islam. Kata keramat beliau adalah, kalau kita tidak cinta bangsa sendiri takkan kita nak harap orang putih mencintai dan sayang pada bangsa kita.
Janganlah buang fitrah yang besar ini iaitu mencintai bangsa sendiri supaya kita menjadi pembela bangsa kita.
Allah yang jadikan bangsa dan puak ini sebagai satu kenikmatan. Firman Allah:
وَجَعَلْنَـٰكُمْ شُعُوبًۭا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓا۟
Kami jadikan kamu berbangsa bersuku agar saling mengenali. [Hujurat(49):13]