PROF ZULKIFLI MUHAMMAD
Menegur Salah Faham Melayu Berkenaan Ekonomi
Profesor Zulkifli Muhammad pernah menyatakan, ajaran agama itu menjadi salah apabila umat Islam hanya diajar untuk memburu syurga dan menjauhi diri dari fitnah dunia.
Mohd Fadli Ghani dalam satu penulisannya bertajuk Pemikiran Ekonomi Islam Menurut Zulkifli Muhammad menyatakan bahawa Prof. Zul sebenarnya telah melihat satu aspek penting berkaitan pemikiran umat Islam yang menjadi punca kemunduran umat. Di dalam tulisannya yang bertajuk Umat Islam Sekarang Makin Mundur. Beliau telah menyatakan bahawa sifat memburu syurga dan meninggalkan dunia telah menjadikan umat ini kaku dan tidak bermaya, berpandangan sempit, membunuh kerajinan dan kesungguhan usaha, membunuh ikhtiar serta tinggal dalam kepura-puraan. Umat Islam menghadapi penyakit merasa cukup atau memadai dengan apa yang ada. Pemikiran dan sikap sebegini membawa kemunduran ekonomi kepada umat Islam pada hari ini.
Tangapan yang salah ini apabila bercantum pula dengan kebijakan ekonomi penjajah menyebabkan umat Islam tidak dapat bangkit.
Bagi merungkai masalah ini Prof. Zul meletakkan tanggunjawab ini kepada para Ulama untuk membetulkan corak pemikiran umat Islam dengan memberikan panduan Islam yang sebenar.
Prof. Zul menyifatkan tindakan membiarkan umat Islam dalam keadaan mundur dan tidak memperbaiki kemajuan ekonomi sebagai satu dosa, kerana ia bercanggah dengan perintah Allah dan Rasul-Nya. Umat Islam hendaklah bersungguh-sungguh menguasai dan memajukan ekonomi kerana hampir seluruh kelemahan umat Islam hari ini adalah berpunca daripada kemunduran ekonominya.
Inilah masalah terbesar umat Islam. Bukannya Islam lemah kerana dosa-dosa dan maksiat orang Islam. Tetapi kerana pemikiran yang salah yang ada pada orang-orang soleh. Meninggalkan ekonomi adalah kesalahan fatal umat Islam berdasarkan pandangan Profesor Zulkifli Muhammad.
Prof. Zul lahir di Kuala Kangsar, Perak pada 22 Mac 1927. Bersekolah di Madrasah Aziziah, Parit. Belajar bahasa Inggeris sebelah malam dengan Mr. Ratnam.
Pada 1940, beliau memasuki pula Madrasah Idrisiah, Kuala Kangsar sehingga meletus Perang Dunia Kedua pada 1942.
Mendalami agama dengan Mufti Perak, Sheikh Ismail Hamzah.
Pada 1948, beliau ke Universiti al-Azhar. Ketika di Mesir, turut belajar di American University of Cairo sehingga 1952 tetapi gagal menamatkannya kerana jatuh sakit.
Menjadi Setiausaha Kolej Islam Malaya (KIM) pada 1955. Kemudian menjadi pensyarah kolej tersebut pada 1957.
Tahun yang sama, mendapat anugerah Profesor Kehormat daripada Universitas Sawerigading, Indonesia. Beliau dicalonkan untuk menerima Ijazah Doktor Kehormat oleh Universitas Islam Sumatera Utara 1963 tetapi ditangguhkan kerana isu Konfrantasi Malaysia.
Dari segi politik beliau menganggotai Umno semenjak 1946 dan ditawarkan setiausaha agung parti pada 1954, tetapi memilih menyertai PAS pada 1955.
Beliau menjadi calon PAS di Selangor Tengah dalam Pilihan Raya Umum 1955. Pada 1959, Prof. Zul terpilih sebagai Ahli Parlimen Bachok sehinggalah beliau meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya di Kuantan pada 6 Mei 1964. Prof. Zul ketika itu Timbalan Yang Dipertua Agung PAS. Kematian beliau dalam usia 37 tahun meninggalkan khazanah ilmu yang besar untuk diwarisi.
Ayuh kita betulkan kembali pemikiran umah ini seperti saranan Profesor Zulkifli.
Allah berfirman:
وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ
Dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar). [al-Jathiyah(45):18]
Ustaz Pro bukan sekadar cerita tetapi meluruskan minda dan tindakan bersama.
Assalamualaikum.