Bolehkah makan pil tahan haid untuk berpuasa?

HUKUM MAKAN PIL PENAHAN HAID

Apakah hukum makan pil penahan haid?

Al-Inarah menjawab:
Pada asasnya, penggunaan pil pencegah haid bagi kaum perempuan adalah termasuk di dalam perkara-perkara keduniaan. Bahkan perkara tersebut membantu dan memudahkan lagi mereka dalam menyempurnakan beberapa ibadah seperti ibadah haji, umrah dan puasa. Dalam aspek hal-hal keduniaan, prinsip asasnya ialah hukum asal bagi sesuatu perkara itu adalah harus selagi mana tidak ada dalil yang melarang atau menyatakan sebaliknya.

Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebut:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).”  (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60)

Imam al-Buhuti berpendapat bahawa seorang perempuan boleh mengambil ubat-ubatan yang harus hukumnya bagi menghentikan haid selama mana ia selamat daripada sebarang kemudaratan. (Lihat Kasyaf al-Qina‘, 1/218)

Di samping itu, Ibn Hajar al-Haitami juga seolah-oleh memberi isyarat akan keharusan penggunaan ubat bagi perempuan untuk menahan haidnya, supaya dia dapat menyempurnakan ibadah hajinya dengan pergi melakukan tawaf ifadhah sekalipun darah haidnya kembali semula selepas musafir.  (Lihat Hasyiah Ibn Hajar al-Haitami ‘ala Syarh al-Idhah fi Manasik al-Haj, hlm. 387-388)

Dr. Yusuf al-Qaradhawi juga pernah ditanya berkenaan perkara ini. Beliau berpendapat sekiranya wanita itu hendak memakan ubat bagi melewatkan haidnya agar ia tidak datang di dalam bulan Ramadan, hukumnya tidak mengapa, dengan syarat ubat itu tidak memudaratkan dirinya.

Mereka boleh meminta nasihat daripada pakar, atau doktor mengenai ubat itu sehingga dapat dipastikan bahawa menelan pil-pil itu tidak memberikan sebarang mudarat.

Walau bagaimanapun, sekiranya terbukti dari sudut perubatan bahawa penggunaan pil-pil seumpama ini akan memudaratkan penggunanya baik dari sudut jangka masa pendek atau panjang, maka hukumnya berubah daripada harus kepada haram.

Hal ini adalah berdasarkan keumuman sabda Nabi SAW:
لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya: “Tidak ada mudarat dan tidak ada juga perbuatan membalas kemudaratan.”
Riwayat Ibn Majah (2341)

Rujuk al-Inarah #3162: Wanita Haidh Atau Istihadah Meneruskan Puasa Dan Niat Berihram Umrah.

Version 1.0

Copyright © 2021 All Right Reserved

Disclaimer

LIMITATION OF LIABILITY: This website is prepared by and is the property of MAQAS Management; neither it nor any part thereof nor a copy thereof is to be published or disclosed without first securing the express written approval from MAQAS.

Available Now