Podcast
Jika anda selalu cuba bersaing dengan orang lain, fikirkan pesaing anda bukan mereka tetapi diri anda sendiri. Mari dengarkan kisah Ben Comen.
Assalamualaikum.
Bila anda seorang atlit, apa yang anda fikirkan adalah, untuk mengalahkan lawan anda. Begitulah juga bila anda berbisnes. Fokus anda untuk mengalahkan pesaing anda. Tetapi di sana ada seorang yang bernama Ben Comen. Dia mengajar kita erti sebenar persaingan. Baginya competitor bukanlah lawannya. Tetapi dirinya sendiri. Dia menjadikan dirinya sebagai saingannya bukan orang lain.
Kisah Ben ini sangat menyentuh hati. Ben sebenarnya seorang yang mengidap penyakit Cerebral palsy. Penyakit ini disebabkan oleh komplikasi semasa kelahiran. Ia akan mempengaruhi pergerakan dan keseimbangan seseorang. Masalah penyakit ini tidak dapat diubati dan dia menjadi penyakit seumur hidup.
Ben walaupun mengidap penyakit yang menyukarkannya untuk berjalan, tetapi ini tidak memadamkan impiannya untuk menjadi pelari marathon. Dia menyertai pasukan larian bersama rakan-rakannya. Biasanya dalam larian yang disertainya Ben akan ketinggalan dibelakang. Setelah semua rakannya menamatkan larian dalam masa kira-kira dua puluh lima minit, Ben memerlukan masa 45 minit untuk menamatkan lariannya.
Dia bukan sahaja ketinggalan dibelakang tetapi dia asyik tersungkur semasa lariannya. Adakah Ben berhenti setelah melihat semua orang sudah jauh ke depan? Tidak. Dia tetap meneruskan larian walaupun tersungkur lagi. Sesuatu yang ajaib berlaku selepas Ben berlari dua puluh lima minit. Setelah rakan-rakannya menyudahkan larian, mereka kembali untuk berlari bersama Ben.
Benlah satu-satu pelari yang bila dia jatuh ada rakan yang cuba mengangkatnya kembali. Benlah satu-satunya orang yang menghabiskan larian dengan ada ratusan orang yang berlari dibelakangnya. Mengapa ini terjadi? Ini terjadi kerana Ben bukan berlari untuk mengalahkan sesiapa. Dia berlari semata-mata untuk bersaing dengan masanya dan dirinya sendiri. Dia berlari demi kepuasan dan pencapaiannya sendiri. Dia bukan macam pelari lain, yang berlari untuk mengalahkan pihak lawan. Dia berlari dan terus berlari tanpa peduli pesaingnya kerana matlamatnya jelas untuk dirinya sendiri.
Berbekal kisah Ben ini, mari kembali ke dalam realiti hidup kita. Kita sering cuba berlawan dengan melihat pesaing kita. Cuba buat servis, produk dan lain lagi untuk jadi lebih baik dari pesaing kita. Bila kita wujudkan pesaing maka timbullah perlawanan dan tidak wujud saling membantu. Tetapi jika kita hanya bersaing dengan diri kita, syarikat kita dan kepuasan kita sendiri, ramai yang akan mahu bersama kita sebagaimana kisah Ben tadi.
Bahkan bila orang tanya siapa saingan kita? Kita jawab. Saingan kami adalah kami sendiri. Kami berjaya buat kerja kami hari ini adalah lebih baik berbanding enam bulan dahulu. Ini menunjukkan kita lebih percaya, bicara dan mementingkan apa yang kita capai. Bukan apa yang pihak lain ada dan kita mahu berlawan dengannya.
Inilah yang Allah sebutkan:
وَمَن جَاهَدَ فَإِنَّمَا يُجَاهِدُ لِنَفْسِهِ
Siapa yang berusaha sesuatu, ia buat untuk kebaikannya sendiri.
(al-Ankabut 6)
Ayuh transformasikan diri kita untuk jadi lebih baik seperti Ben yang hanya bersaing dengan dirinya sendiri, tanpa pedulikan pesaing lain. Moga kita terus kuat demi perubahan.