ALEXANDER FLEMING PENEMU PENISILIN
Sempurna Bukan Syarat Berjaya
Alexander Fleming menemui penisilin bukan kerana kesempurnaan kajiannya bahkan kerana kesilapan yang telah berlaku.
Pada sekitar tahun 1928, Alexander Fleming, 48 yang berkelahiran Scotland diberikan tugasan sebagai ketua biokimia di Hospital St. Mary di London. Dia diberikan sebuah ruangan khas untuk dijadikan makmal ujikajinya. Makmalnya itu bersebelahan dengan bilik dandang iaitu bilik pemanas air untuk bangunan.
Sebagai pengkaji bakteria, beliau membiakkan bakteria di dalam piring petri untuk tujuan ujikaji pihak hospital. Tugasnya mengkaji bakteria yang diambil dari pesakit. Kemudian dibiakkan untuk mengenalpasti jangkitan dan kuman yang menyebabkan punca penyakit serta mencari kaedah melawan penyakit tersebut.
Kesemua piring petri mengandungi bakteria berbahaya yang terdiri daripada Staphylococci, Streptococci dan Pneumococci disusun dan di label dengan teliti di dalam makmal Fleming.
Kulat merupakan musuh utama kepada makmal Fleming. Suasana di dalam makmal Fleming pula sentiasa berada dalam keadaan pengaliran udara yang tidak teratur kerana bilik dandang yang beroperasi bersebelahannya. Pengaliran udara untuk makmal ini hanya bergantung kepada tingkap yang berhadapan dengan parking dan taman hospital tersebut. Ini menyebabkan angin membawa masuk daun-daun, habuk dan bermacam jenis kulat yang berada di udara. Sangat sukar untuk mengawal kehadiran kulat daripada menjejaskan tumbesaran bakteria yang cuba dibiakkan.
Pada 28 September 1928, semasa Fleming balik dari bercuti, beliau mendapati piring petri yang mengandungi bakteria berbahaya Stapylococci telah dicemari oleh kulat hijau yang kelihatan ganjil. Kulat tersebut telah menguasai hampir separuh daripada piring petri tersebut. Kulat itu telah menghinggap piring tersebut malam sebelumnya.
Namun apa yang dia sedari adalah pada bahagian kulat ini didapati bakteria Staphylococci telah mati. Begitu juga bakteria yang berada hampir seinci daripada kulat ini didapati sudah tiada lagi.
Bisik hati beliau: “Kulat apakah yang dapat memusnahkan bakteria yang aktif, ganas dan boleh membawa maut kepada dunia? Tiada bahan yang diketahui (pada masa itu) yang boleh mengancam Staphylococci dengan berjaya”.
Fleming mengambil masa dua minggu untuk mengkaji kulat tersebut. Sebulan berikutnya beliau dapat mengenal pasti kulat yang mampu membunuh bakteria dan memanggil bahan itu sebagai “penicillin”.
Melalui eksperimen yang dijalankan beliau mendapati penicillin mampu menghapuskan bakteria pembunuh manusia dengan mudah.
Enam bulan berikutnya beliau menguji penggunaan penisilin ke atas arnab untuk memastikan ia selamat digunakan ke atas manusia. Hujung tahun 1929 beliau mengisytiharkan penemuan kulat ajaib tersebut yang sebenarnya terbang masuk ke dalam tingkap makmalnya.
Kata-katanya yang hebat adalah: “I did not invent penicillin. Nature did that. I only discovered it by accident.”
Kisah ini mengajar kita tidak perlu menjadi terlampau perfect dalam membuat sesuatu kerana sesuatu penemuan itu boleh berlaku dalam serba kekurangan. Selepas itu barulah ianya dibina secara perlahan untuk menjadikannya sempurna. Ramai yang menunggu untuk jadi sempurna dalam membuat sesuatu. Akhirnya apa benda pun tidak berhasil kerana menunggu jadi sempurna dahulu.
Kedua janganlah merasakan diri kita terbaik dalam mencipta apa jua fomula. Lihat Fleming mengakui bukan dia yang menemui penisilin tetapi ‘nature’ yang melakukannya. Inilah sifat insan yang boleh berjaya.
Benarlah Firman Allah:
اَللهُ الَّذِيْ خَلَقَكُمْ مِّنْ ضَعْفٍ ثُمَّ جَعَلَ مِنْ بَعْدِ ضَعْفٍ قُوَّةً ثُمَّ جَعَلَ مِنْ بَعْدِ قُوَّةٍ ضَعْفًا وَّشَيْبَةً ۗ
“Allah-lah yang menciptakan kamu dari lemah, kemudian menjadikan (kamu) kuat, kemudian Dia menjadikan (kamu) lemah (kembali) dan beruban.- [Ar-Rum(30):54]
Janganlah kita terlampau mengharapkan kesempurnaan dalam sesuatu tindakan dan janganlah merasakan kita sahaja yang terbaik. Rendahkanlah diri kerana itulah fitrah manusia.