Lee Kuan Yew

LEE KUAN YEW

Kisah Singapura berpisah dari Malaysia

Penyertaan Singapura dalam Malaysia hanya berlaku 23 bulan sahaja. Kenapa ini terjadi?

Dalam buku SINGAPURA DAN MALAYSIA 1963-1965 PERKONGSIAN TIDAK SERASI (Terbitan UMK) faktor terbesar perpisahan ini adalah kerana sikap Lee Kuan Yew yang mahu menjadi pemimpin besar di negara ini.

Lee yang mengasaskan PAP pada tahun 1954 sedar, British tidak akan memberi kemerdekaan bersendiri kepada Singapura. Sebab itulah kempen pilihan raya 1959, tema yang digunakannya ialah bercantum dengan Tanah Melayu.

Setelah memenangi pilihan raya, Lee telah berkali-kali menemui Tunku bagi menyertai Tanah Melayu dan merdeka melaluinya.

Tunku tidak pernah setuju Singapura menyertai Malaysia. Beliau bimbang jumlah orang Cina 75 peratus di Singapura, akan melemahkan kekuatan majoriti orang Melayu.

Bagi Tunku, orang Cina akan menjadi pengikut yang baik ketika mereka kecil tetapi akan menunjukkan kuasa apabila mereka majoriti.

Namun kerana bimbang pengaruh komunis di Singapura. Ditambah pula pilihan raya di Hong Lim dan Anson memihak kepada pro komunis menyebabkan Tunku menggagaskan Malaysia dengan membawa sekali Singapura agar Singapura tidak menjadi ‘Cuba Kedua.

Idea ini ditentang pemimpin pembangkang dan juga UMNO. Timbalan Yang di Pertua PAS, Zulkifli Mohammad ketika membahas usul di Dewan Rakyat menyatakan, percantuman ini merugikan orang Melayu. Menjadikan mereka minoriti dan terpinggir di tanah air sendiri. Di Singapura, idea Malaysia ini ditentang parti Barisan Sosialis.

Kerana terdesak, Lee telah memenjarakan mereka yang menentang kemasukan Singapura dalam Malaysia di bawah undang-undang PPSO. Banyak pemimpin politik kiri di penjara Lee Kuan Yew.

Pemimpin berkarisma seperti Lim Chin Siong turut menjadi mangsa tindakan kejam itu.

Lee licik mempengaruhi Tunku dan British untuk menerima Singapura menjadi sebahagian Malaysia. Boleh dikatakan, Lee adalah arkitek penubuhan Malaysia. Namun dia jugalah yang meruntuhkan Malaysia.

Pada pilihan raya 1963, Lee telah meletakkan calon-calon PAP Melayu bagi mencabar calon Perikatan Singapura. Semua calon-calon Perikatan dari UMNO kalah di kawasan majoriti Melayu yang dimenangi sebelumnya. Tunku amat kecewa dengan apa yang terjadi.

Lee kemudiannya menyertai Pilihan Raya Umum pada April 1964. Beliau yang berjanji tidak akan menubuhkan cawangan PAP dan terlibat dalam politik Persekutuan berubah, mahu menjadikan PAP sebagai parti nasional dan mengambilalih peranan MCA. Lee menganggap MCA memiliki kepimpinan lemah dan korup.

Pemimpin MCA dan pemimpin Melayu dicemuh sebagai, naif dan tidak berkaliber. Orang Melayu mula merasa bimbang dengan PAP dan Singapura yang berada dalam Persekutuan.

Di Singapura pula masyarakat Melayu terus tertinggal ke belakang. Lee telah memindahkan penduduk Melayu ke kawasan orang Cina yang berjumlah 72 peratus, menjadikan masyarakat Melayu kehilangan kubu politiknya secara beransur-ansur.

Menjelang tahun 1965, Lee agresif memperjuangkan konsep Malaysian-Malaysia dan mencabar kedudukan orang Melayu. Lee menjadi ancaman kepada status quo orang Melayu sebagai peribumi. Kemudian berlaku penubuhan MSC, sebuah pakatan pembangkang bukan Melayu, untuk menjadi platform Lee menjadi Perdana Menteri.

Cabar mencabar antara pemimpin Melayu dengan Lee memarakkan lagi sentimen perkauman dan menggugat keharmonian kaum. Ucapan-ucapan dan tindak-tanduk Lee mengatakan orang Melayu bukan bumiputera, mempersoalkan hak istimewa orang Melayu dan mempersoalkan Bahasa Melayu merimaskan orang Melayu.

Masyarakat Melayu mula menentang Lee dan menganggapnya cuba melemahkan politik Melayu bagi memenuhi impiannya menjadi Perdana Menteri.

Lee membelakangkan orang Melayu yang dilindungi oleh Perlembagaan. Kontrak sosial yang terbina cuba dirungkai olehnya tanpa mengira perasaan orang Melayu. Sikap Lee mengecewakan pemimpin, Raja-Raja dan orang Melayu. Bahkan di Singapura pernah berlaku kekacauan kaum pada Julai dan September 1964.

Tunku akhirnya menyingkirkan Singapura dari Malaysia pada 9 Ogos 1965.

Bagi Tun Razak, penyingkiran ini mengakhirkan ‘duri dalam daging’ yang ditanggung Malaysia selama ini. Namun bagi Lee Kuan Yew, perpisahan ini mengecewakannya kerana impiannya lenyap begitu saja.(Said Zahari, 2001).

Kisah ini bukan menunjukkan kejahatan atau kelicikan sesiapa tetapi untuk kita terus menjaga amanah bangsa dan agama seperti orang terdahulu kerana ianya menjadi tanggungjawab kita kini.

Firman Allah:

لَا تَخُوْنُوا اللهَ وَالرَّسُوْلَ وَتَخُوْنُوْٓا اَمٰنٰتِكُمْ

Dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu. [al-Anfal(8):27]

Ustaz Pro bukan sekadar cerita tetapi pengubah jiwa, minda dan tindakan kita

Version 1.0

Copyright © 2021 All Right Reserved

Disclaimer

LIMITATION OF LIABILITY: This website is prepared by and is the property of MAQAS Management; neither it nor any part thereof nor a copy thereof is to be published or disclosed without first securing the express written approval from MAQAS.

Available Now