JACK ROOSEVELT ROBINSON
Pemain besbol kulit hitam pertama sertai MLB
Jack Roosevelt Robinson mungkin tidak pernah terfikir untuk menjadi pemain kulit hitam pertama dalam Major League besbol (MLB). Dia terkenal bukan hanya kerana bakat besarnya dalam besbol tetapi kerana sikap sabar yang tinggi dalam menghadapi rintangan diskriminasi kulit putih.
Sebelum bermain di UCLA, Robinson banyak menghabiskan malamnya di penjara kerana bergaduh dengan lelaki kulit putih.
Semasa kerahan ketenteraan di Camp Hood pada tahun 1944 dia melawan arahan pegawai tentera. Ini kerana pagawai itu mengarahkannya yang berkulit hitam untuk duduk dibahagian belakang bas. Walaupun jika diikutkan, undang-undang tentera melarang diskriminasi tersebut.
Berlakulah pertengkaran dengan pemandu bas, dan dia mencabar pegawainya untuk bergaduh. Akhirnya kesnya dibawa ke mahkamah. Namun dia dibebaskan tidak lama kemudian.
Itulah sifat asal Robinson yang sentiasa melawan diskriminasi yang berlaku kepada kulit hitam.
Namun ketika Branch Rickey pemilik kelab Brooklyn Dodgers menghidu bakat hebat Robinson, dia berusaha membawanya masuk ke liga utama besbol. Jika diikutkan, orang kulit hitam hanya dibenar bermain di liga mereka berasingan dari orang kulit putih.
Semasa pertemuan Rickey dengan Robinson, soalan yang ditanyanya, adakah Robinson seorang yang berani untuk tidak melawan dengan segala ketidakadilan dan diskriminasi yang akan dihadapinya.
Semasa berada dalam liga profesional itu pelbagai diskriminasi yang dihadapinya. Mendapat ejekan kakitangan kelab. Diboikot oleh pasukan sendiri. Tempat rehat yang tidak sama dengan pemain lain. Bahkan mendapat serangan agresif untuk melukainya dan membunuhnya. Walaupun itu rintangannya Robinson tetap berpegang dengan janji yang dibuatnya tidak akan membiarkan kemarahannya menguasai diri. Walaupun dalam dirinya api kemarahan sedang bergejolak. Dia tetap bertahan. Selama 9 tahun dalam liga dia tidak pernah memukul pemain lain.
Robinson terpaksa mengesampingkan egonya walaupun haknya sebagai manusia dizalimi.
Pada awal kariernya Pengurus Philadelphia Phillies Ben Chapman banyak mengejeknya semasa perlawanan. “Mereka sedang menunggu kamu di dalam hutan, hoi lelaki kulit hitam!” Dia menjerit lagi dan lagi. “Kami tidak mahu kamu di sini, Nigger.” Jackie bukan sahaja tidak menjawab tetapi, sebulan kemudian dia dan Chapman bergambar bersama. Chapman terhutang budi dengan Robinson kerana telah menyelamatkan kerjayanya dari berkubur.
Jika diikutkan Robinson, dia mahu sangat merempuh salah seorang dari mereka dan memukulnya dengan hantaman kepalanya. Robinson meluahkan ini dalam satu tulisannya.
Kesabaran Robinson dan keberaniannya menahan egonya yang selalu tercabar membuahkan hasil selepas itu. Pada tahun 1947 Robinson dinobatkan pemain terbaik Major League baseball (MLB). Manakala pada tahun 1955 Dodger pasukannya meraih juara MLB.
Bukan senang untuk kita menghadapi rintangan seperti Robinson ini. Tetapi kisah Robinson ini memberikan kita inspirasi bahawa:
Pertama tahanlah ego kita demi melihat keuntungan lebih besar. Seperti yang Robinson perolehi.
Kedua jika bakat kita besar percayalah kita tidak perlu pun tunjukkan ego kita kerana bakat kita itu akan bercakap lebih kuat dari ego kita.
Ketiga bukan semua orang mampu menjadi seperti Robinson. Tetapi jika jiwa kita besar percayalah kita akan buat seperti yang dilakukan Robinson untuk mencapai matlamat kita.
Benarlah Firman Allah:
وَلا تَمشِ فِي الأَرْضِ مَرَحًا
“Janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong”
[Luqman(18)].
Kisah Jack Roosevelt Robinson ini bukanlah sekadar cerita tetapi inspirasi untuk transform jiwa, minda dan tindakan kita. Teruskan bersama Ustaz Pro demi perubahan. Assalamualaikum.