HUKUM WUDUK PADA LUKA YANG TERDEDAH
Apakah hukum membasuh pada anggota wuduk yang terluka dan tidak boleh dibaluti?
Darul Ifta Mesir memberikan jawapan yang menarik:
إِنْ تَعَذَّرَ عَلَى صَاحِبِ الجُرْحِ أَنْ يَضَعَ عَلَى جُرْحِهِ حَائِلًا لِيَمْسَحَ عَلَيهِ،
Jika seseorang yang terluka tidak mampu meletakkan pelindung di atas lukanya untuk disapu (air),
جَازَ لَهُ تَرْكُ غَسْلِ ذَلِكَ المَوْضِعِ مِنَ العُضْوِ
diperbolehkan baginya untuk tidak membasuh bahagian anggota tubuh yang terluka tersebut.
وَتَصِحُّ بِذَلِكَ طَهَارَتُهُ عَلَى مَا تَوَارَدَ عَلَيهِ ظَاهِرُ النُّصُوصِ وَالآثَارِ،
Dan wuduknya tetap sah berdasarkan dalil-dalil dan atsar yang jelas.
وَهُوَ مَذهَبُ الحَنَفِيَّةِ.
Dan ini adalah pendapat mazhab Hanafiyah.
Hadis Ibnu Abbas menceritakan bagaimana seorang lelaki luka dikepalanya. Dia bermimpi basah. Lalu ada yang menyuruhnya untuk mandi wajib, akibatnya dia meninggal dunia setelah itu.
Rasulullah ﷺ marah dengan kejadian dan kejahilan mereka itu.
Lalu Rasul ﷺ memberikan panduan:
لَوْ غَسَلَ جَسَدَهُ، وَتَرَكَ رَأْسَهُ حَيْثُ أَصَابَهُ الْجِرَاحُ
Jika dia membasuh tubuhnya dan meninggalkan kepalanya yang terkena luka, tentu dia tidak akan mati.
صحيح ابن ماجه (٤٧٠)
Melalui hadis ini difahami boleh untuk tidak membasuh anggota luka tersebut kerana mudarat dan beralih untuk membasuh anggota lain.
Ibnu Umar berkata:
إِذَا لَمْ تَكُنْ عَلَى الْجُرْحِ عَصَائِبُ غَسَلَ مَا حَوْلَهُ، وَلَمْ يَغْسِلْهُ
Jika luka tidak ada balutan, maka basuhan hanya perlu di sekeliling luka tersebut dan tidak perlu membasuh lukanya itu.
أخرجه البيهقي في السنن الكبرى
Imam Al-Kasani dalam Badai’ As-Sana’i menjelaskan hukum menyapu air atas pembalut boleh digugurkan jika mendatangkan mudarat:
وَلا خِلَافَ فِي أَنَّهُ إِذَا كَانَ المَسْحُ عَلَى الجَبَائِرِ يَضُرُّهُ أَنَّهُ يَسْقُطُ عَنْهُ المَسْحُ؛
Dan tiada khilaf jika menyapu (air) pada pembalut itu boleh (mendatangkan)
mudarat, maka hukum menyapu itu digugurkan.
لأَنَّ الغَسْلَ يَسْقُطُ بِالعُذْرِ، فَالمَسْحُ أَوْلَى.
Jika (hukum) membasuh boleh digugurkan dengan sebab keuzuran, maka hukum menyapu (air atas luka) lebih utama (digugurkan).
Badai’ As-Sana’i (1/13, Dar Al-Kutub Al-Ilmiyyah)
Mazhab Maliki juga sependapat dengan Mazhab Hanafi.
Al-Allamah Al-Hattab Al-Maliki dalam Mawahib Al-Jalil berkata:
وَقَالَ ابْنُ فَرَحُونَ عِنْدَ قَوْلِ ابْنِ الْحَاجِبِ:
Berkata Ibnu Farhun, ketika mensyarahkan kata-kata Ibnu Al-Hajib:
وَإِنْ كَانَ يَتَضَرَّرُ بِمَسْحِهَا، أَوْ لَا تَثْبُتُ، أَوْ لَا يُمْكِنُ، وَهِيَ فِي أَعْضَاءِ التَّيَمُّمِ،
Jika seseorang mengalami mudarat dengan menyapu (air pada) luka, atau pembalutnya tidak melekat, atau tidak dapat meletakkannya, dan luka itu berada pada anggota tayammum,
تَرَكَهَا وَغَسَلَ مَا سِوَاهَا.
dia boleh meninggalkan membasuh anggota itu dan hanya membasuh anggota yang lain.
Mawahib Al-Jalil (1/363, Dar Al-Fikr)
Kesimpulannya apabila anggota wuduk yang luka itu tidak boleh dibasuh atau disapu air atasnya atau tidak boleh digantikan dengan tayamum kerana mendatangkan mudarat, maka tak perlu membasuh atau menyapu air ataupun bertayamum pada anggota itu dan berpindahlah membasuh pada anggota yang lain.
Ustaz Pro
Assalamualaikum
SUMBER
• دار الافتاء المصرية
كيفية وضوء من عجز عن غسل بعض أعضاء الوضوء لسبب طبي