HUKUM QADHA SOLAT YANG TERTINGGAL
Apakah wajib qadha solat yang ditinggalkan dengan sengaja?
Jumhur ulama menyatakan wajib qadha solat yang ditinggalkan secara sengaja. Ini adalah pendapat empat mazhab.
Hujah mereka antaranya, hadis dari Anas, Nabi ﷺ bersabda:
مَنْ نَسِيَ صَلَاةً أَوْ نَامَ عَنْهَا، فَكَفَّارَتُهَا أَنْ يُصَلِّيَهَا إِذَا ذَكَرَهَا
Sesiapa yang terlupa menunaikan solat atau tertidur daripada mengerjakan solat, maka kaffarahnya hendaklah ia menunaikan solat apabila ia mengingatinya.
Riwayat al-Bukhari (597) dan Muslim (684)
Dr Yusof al-Qaradawi menjelaskan kenapa wajib qadha solat yang ditinggalkan secara sengaja:
وَإِذَا كَانَتِ الصَّلَاةُ الَّتِي فَاتَتْ بِسَبَبِ عُذْرٍ كَالنَّوْمِ وَالنِّسْيَانِ تُقْضَى، فَلَا جَرَمَ أَنْ يَكُونَ الْقَضَاءُ فِي حَقِّ الْعَامِدِ أَوْلَى
Dan apabila solat yang luput dengan sebab uzur seperti tidur dan lupa perlu diqadha, maka (wajib) qadha solat yang ditinggalkan secara sengaja adalah lebih utama.
من كتاب فقه الصلاة للدكتور يوسف عبد الله القرضاوي (رحمه الله) صص 34-3
Namun, ada ulama yang berpendapat tidak mewajibkan qadha solat. Ini adalah pandangan Ibnu Hazm, Ibn Rajab al-Hanbali, sebahagian ashab al-Syafie seperti Abd al-Rahman di Iraq, Ibn Bint, dan Abu Bakr al-Humaidi:
Imam Ibnu Hazm berpendapat:
فَإِنَّ الْقَضَاءَ إيجَابُ شَرْعٍ ، وَالشَّرْعُ لَا يَجُوزُ لِغَيْرِ اللهِ تَعَالَى عَلَى لِسَانِ رَسُولِهِ
“Sesungguhnya qadha solat itu adalah perintah syara’, dan syariat tidak boleh (datang) melainkan dari Allah Ta’ala melalui lisan Rasul-Nya.”
المحلى بالآثار٢/١١
Ini membawa maksud, dalam bab ini tidak ada nas yang jelas mewajibkan qadha solat.
Kata Imam Ibn Rajab al-Hanbali: Dan tidak diketahui suatu pendapat pun daripada kalangan para sahabat yang mengatakan adanya qadha ke atas sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja.
Lihat Fath al-Bari, Ibn Rajab al-Hanbali (5/139).
Kesimpulannya, kita mengambil pendapat jumhur ulama kerana dalil dan qias yang mereka gunakan adalah lebih kuat. Justeru, hukum qadha solat adalah wajib.
Namun jika qadha solat itu suatu kesukaran kerana solat yang ditinggalkan itu terlampau banyak, maka Dr Yusof al-Qaradawi memberikan pandangan yang terbaik.
Katanya:
أَمَّا مَن تَرَكَهَا مَدَدًا مُتَطَاوِلَةً، بِحَيْثُ يَقَعُ فِي المَشِّقَّةِ بِقَضَائِهَا، فَعَلَيْهِ أَنْ يَتُوبَ إِلَى اللهِ مِنْ هَذِهِ الْكَبِيرَةِ الْعَظِيمَةِ، وَعَلَيْهِ أَنْ يُحَافِظَ عَلَى الصَّلَوَاتِ فِي أَوْقَاتِهَا، وَأَنْ يُكْثِرَ مِنْ نَوَافِلِ الصَّلَوَاتِ.
Adapun bagi mereka yang meninggalkan solat dalam tempoh yang panjang, sehingga kesulitan untuk qadhanya, maka dia perlu bertaubat kepada Allah dari dosa besar ini. Dan dia perlu menjaga solat (berikutnya) dalam waktunya, serta perlu memperbanyakkan solat sunat.
Apapun, cubalah dulu untuk qadha solat, jika tidak mampu melakukannya maka bertaubatlah.
Ustaz Pro
Assalamualaikum
SUMBER:
• PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN
TAHQIQ AL-MASA’IL SIRI KE-1: HUKUM QADHA BAGI SESEORANG YANG MENINGGALKAN SOLAT DENGAN SENGAJA
• وجوب قضاء تارك الصلاة عمدًا – يوسف عبد الله القرضاوي
https://iumsonline.org/ar/ContentDetails.aspx?ID=26885#
• حكم قضاء الصلاة الفائتة – فتاوى دار الافتاء المصرية
https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/13010/قضاء-الصلاة-الفايتة