HUKUM MENYENTUH KEMALUAN ANAK KECIL
Apakah hukum menyentuh kemaluan anak kecil ketika membersihkannya? Adakah ianya membatalkan wuduk?
Ulama berbeza pendapat dalam masalah ini.
Imam Syafie dan Imam Ahmad bin Hanbal menyatakan batalnya wuduk dengan menyentuh kemaluan sama ada orang dewasa ataupun kanak-kanak. Orang hidup mahu pun orang mati.
Hujah mereka berdasarkan hadis Nabi ﷺ dari Busrah binti Safwan:
مَنْ مَسَّ ذَكَرَهُ فَلَا يُصَلِّ حَتَّى يَتَوَضَّأَ.
Barangsiapa yang menyentuh kemaluannya maka janganlah dia solat sehingga dia berwudhu’.
At-Tirmizi no. 82 (hasan sahih)
Manakala pendapat kedua menyatakan tidak batal wuduk dengan menyentuh kemaluan kanak-kanak.
Kata Ibnu Qudamah dalam al-Mughni: Ini pendapat al-Zuhri dan al-Auza’i:
لَا وُضُوءَ عَلَى مَنْ مَسَّ ذَكَرَ الصَّغِيرِ ; لِأَنَّهُ يَجُوزُ مَسُّهُ وَالنَّظَرُ
‘Tidak wajib berwuduk bagi yang menyentuh kemaluan anak kecil kerana boleh menyentuh dan melihatnya.
Ibnu Qudamah, al-Mughni, 1/118.
Imam Malik pula mengatakan batal (wuduk) jika (menyentuh) kemaluan orang dewasa, tetapi tidak bagi kemaluan anak-anak.
Al-Syaibani, Ikhtilaf al-Aimmah al- ‘Ulama, 1/53.
Sebagai kesimpulan:
Pendapat yang menyatakan batal wuduk dengan menyentuh kemaluan bayi adalah lebih kuat namun Darul Ifta Mesir memberikan penyelesaian yang lebih baik:
لِأَنَّنَا لَوْ قُلنَا بِنَقْضِ الوُضوءِ عِنْدَ تَنْظِيْفِ بَدَنِ الطِّفْلِ الصَّغِيْرِ مِنَ النَّجَاسَاتِ، فَسَيَكُوْنُ فِيْ ذَلِكَ مَشَقَّةٌ عَلَى مَنْ يَقُوْمُ بِذَلِكَ؛ وَالشَّرْعُ مَبْنَاهُ عَلَى رَفْعِ المَشَقَّةِ وَالحَرَجِ عَنِ المُكَلَّفِيْنَ.
Kerana jika kita mengatakan batal wuduk ketika membersihkan bayi kecil dari najis, maka perkara itu akan menyukarkan orang yang melakukannya. Sedangkan syariat itu dibina atas dasar menghilangkan kesukaran dan keberatan daripada mukallaf.
حكم لمس عورة الطفل وأثره على الوضوء
https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/16808/
Maka jika tidak menjadi keberatan pada ibu atau penjaga bayi berwuduklah bila tersentuh kemaluan bayi kerana memakai pendapat yang kuat. Namun jika kepayahan، tidak mengapa mengambil pendapat tidak batal wuduk kerana kesulitan.
Ustaz Pro
Assalamualaikum
SUMBER
• AL-INARAH
#560 TERSENTUH KEMALUAN ANAK KECIL BATAL WUDUK?
• Fiqih Praktis Sehari-Hari
FARID NUI’MAN HASAN (275-279)
• فتاوى دار الإفتاء المصرية
حكم لمس عورة الطفل وأثره على الوضوء
https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/16808/حكم-لمس-عورة-الطفل-واثره-على-الوضوء