HUKUM BULU KUCING
Apakah hukum bulu kucing yang melekat pada pakaian sahkah solat dalam keadaan begitu?
Hukum asal bulu kucing yang gugur dari badannya adalah dikira najis.
Namun kucing adalah haiwan yang dikira suci ketika hidup. Ini pendapat Mazhab Syafi‘i,
Ia berdasarkan Sabda Nabi SAW:
«إِنَّهَا لَيْسَتْ بِنَجَسٍ، إِنَّهَا مِنَ الطَّوَّافِينَ عَلَيْكُمْ وَالطَّوَّافَاتِ»
“Sesungguhnya ia (kucing) bukanlah najis kerana ia adalah haiwan yang berkeliaran di sekeliling kamu.”
— Riwayat At-Tirmizi
Imam An-Nawawi pula menyatakan:
Baki air yang diminum oleh kucing adalah suci dan boleh digunakan.
Tetapi bulu yang gugur daripadanya adalah najis, kerana ia berasal daripada haiwan yang tidak halal dimakan.
Imam Al-Ghamrawi menjelaskan:
“Jika bulu tercabut atau gugur daripada haiwan yang tidak boleh dimakan seperti kucing atau keldai, maka ia adalah najis.”
Walaupun bulu kucing gugur itu najis, Mazhab Syafi‘i tetap memaafkan jika ia hanya terkena dalam jumlah sedikit.
Imam Al-Khatib Asy-Syirbini menyebut:
“Dimaafkan bilangan yang sedikit secara uruf (kebiasaan) bagi bulu-bulu najis selain daripada anjing.”
Kesimpulan
Kucing hidup adalah suci.
Namun bulu yang gugur dari kucing adalah najis.
Tetapi jika hanya sedikit bulu itu terkena pakaian, solat tetap sah kerana ia dikira sebagai najis yang dimaafkan.
Jika banyak dan jelas kelihatan, wajib bersihkan sebelum solat.
Ustaz Pro
Assalamualaikum
Sumber:
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan – Al-Kafi #1969
“Adakah Sah Solat Jika Ada Bulu Kucing Melekat Pada Pakaian?”