HUKUM SENGAJA BATALKAN PUASA UNTUK BERJIMAK SIANG RAMADAN
Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan, menurut pendapat mazhab Syafi‘e, jika seseorang itu sengaja membatalkan puasanya dengan makan, kemudian melakukan jimak maka tidak ada kaffarah baginya. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 3/1722.)
Al-Baijuri juga menyatakan dalam hasyiahnya bahawa dikecualikan daripada dikenakan kaffarah ke atas suami yang melakukan jimak pada siang Ramadhan, apabila dia membatalkan puasanya dengan makan dan minum terlebih dahulu.
Walau bagaimanapun, helah ini hanya menghilangkan kaffarahnya sahaja bukan menghilangkan dosanya. (Lihat Hasyiah al-Baijuri, 1/440)
Oleh itu perbuatan membatalkan puasa Ramadhan dengan sengaja tanpa keuzuran yang dizinkan syarak adalah haram dan berdosa besar.
Namun sang suami tidak dikenakan kaffarah dan suami isteri wajib qadha puasa sahaja. Ini pendapat dalam mazhab Syafi‘e.
Oleh itu, siapa yang sudah melakukannya kembalilah bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah, serta berazam untuk tidak mengulanginya lagi.
Sila rujuk Al-Inarah #1027 Batalkan Puasa Untuk Berjimak Dengan Isteri Siang Ramadhan