Kenapa Azizulhasni Awang boleh berjaya sampai ke tahap ini? Ini jawapannya.
Assalamualaikum.
Kejayaan yang dilakarkan tidak akan datang tanpa perancangan yang panjang dan tersusun. Minat Azizul atau lebih dikenali dengan Jijoe terhadap sukan basikal bermula sejak umurnya belasan tahun lagi. Ketika usianya baru empat tahun beliau sudah mengelilingi kampung dengan berbasikal. Disebabkan beliau cemerlang dalam UPSR ayahnya menghadiahkan basikal baru buatnya. Beliau juga pernah cedera parah dilanggar lori sewaktu berbasikal di kampungnya.
Oleh kerana Result PMR baik, beliau telah mendapat tawaran belajar sama ada di MRSM, Sekolah Sains dan juga Sekolah Sukan Bukit Jalil. Namun, kerana minatnya untuk menjadi atlit sukan berbasikal, dia memilih untuk ke Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ). Sejak awal lagi Azizul sudah nampak apa tujuan hidupnya. Pada tahun 2007, di usia 19 tahun, beliau berpindah menjalani latihan di Melbourne dibawah jurulatih John Beasley. Di sana, Azizul menyambung pelajaran secara separuh masa di Victoria University di Melbourne dalam bidang Bachelor of Exercise Science (Sport Practice) pada tahun 2011.
Semasa di Australia, beliau telah mendapat beberapa pengiktirafan di Victoria University di atas pencapaiannya dalam sukan basikal sepanjang berada di sana. Antara pengiktirafan yang pernah diperolehinya, adalah Anugerah ‘Full Blue Award’ dan Azizul merupakan pelajar ‘non-Australian’ pertama yang mendapat anugerah sukan yang tertinggi, dari Victoria University tersebut pada tahun 2015.
Buletin Victoria University menyifatkan Azizul sebagai ‘pelajar contoh’, dengan pencapaian dalam sukan dan akhlak yang baik. Ini membuktikan kejayaan Azizul bukanlah spontan tetapi keterlibatan beliau adalah disusun sejak di awal usia lagi Jurulatih Azizul, John Beasley yang berasal dari Australia juga terkejut dengan anugerah Full Blue yang diterima Azizul itu, beliau berkata “As a proud father, I can not believe that a Malaysian has won a sports award from the leading sports science university in Australia”.
Kerana saisnya yang kecil, Azizul sering dikatakan calon yang tidak sesuai dan menyalahi hukum sains untuk menang di peringkat dunia. Namun Beasley yakin dengan displin dan kesungguhan Azizul. Lalu dia telah menyusun pelan latihan jangka panjang untuk Jijoe dan telah pelsan itu terbukti berhasil.
Azizul mendapat gelaran “The Pocket Rocketman” kerana saisnya yang kecil berbanding atlit basikal dari negara lain. Ketinggian Azizul hanya 168cm. Beliau telah mencipta sejarah pada usia 29 tahun, apabila menjadi atlit pertama Malaysia memenangi emas dalam acara keirin di kejohanan anjuran Kesatuan Basikal Antarabangsa, UCI Track Cycling World Championships pada 12-16 April 2017 di Hong Kong Velodrome. Kejuaraan bertaraf dunia itu melayakkan Azizul menjadi rakyat malaysia pertama disarungkan jersey kebanggaan atlit basikal seluruh dunia iaitu “rainbow jersey.” Jersey ini hanya diberi kepada juara sahaja dan mereka layak memakai jersey itu di manamana kejohanan sepanjang tahun kemenangan tersebut.
Azizul berada di tempat pertama dunia dalam carta UCI dalam kategori keirin pada sesi 2008-2009 dan sesi 2010-2011. Beliau telah mengumpulkan 16 emas, 13 perak dan 14 gangsa dalam setiap pertandingan yang disertainya. Pencapaian terbesarnya tentulah pingat gangsa Olimpik Rio 2016 dan pingat Perak Olimpik Tokyo 2020 baru-baru ini. Persoalannya, dari manakah Azizul mendapat semangat, pemikiran ‘winning mentality’ dan kekuatan sehingga membentuk jatidirinya menjadi seperti hari ini?.
Ianya tidak terjadi secara spontan tetapi disusun dengan baik. Setakat yang pernah dikongsikan Azizul, selain John Beasley, antara orang penting yang menyusun dan membentuk dirinya dalam sukan berbasikal ini ialah Rozimi Omar atau dikenali juga sebagai Jimie. Ketika itu Jimie berusia sekitar 26 tahun.
Sewaktu berusia 10 tahun, Azizul dipelawa Jimie untuk berlatih di gelanggang basikal milik Jimie di Bukit Pak Sabah, Dungun. Gelanggang itu dibuka bagi melatih anak-anak kampung berbasikal. Dari situ Jimie berjaya mengesan bakat Azizul dan meyakinkan Azizul bahawa beliau ada masa depan dalam sukan basikal. Jimie melatihnya secara percuma sehingga Azizul berpindah ke SSBJ. Jimie juga kerap menziarahi Azizul di sana dan terus menerus memberi semangat.
Azizul berasal dari keluarga yang miskin, tiada basikal sendiri untuk petandingan. Dalam satu pertandingan beliau dan Jimie bertolak ke Kuala Lumpur, tanpa membawa basikal untuk bertanding, menumpang di rumah kawan Jimie, dan hanya meminjam basikal yang sesuai setibanya di gelanggang, namun dia berjaya memenangi perlumbaan kategori bawah 15 tahun itu. Selepas itu, beliau banyak memasuki pertandingan yang diadakan di mana sahaja. Dan beliau kerap memenanginya sehinggalah Sekolah Sukan Bukit Jalil menawarkan tempat untuknya. Malangnya, Jimie telah meninggal dunia akibat sakit jantung pada tahun 2015 di usia 43 tahun.
Beliaulah seorang tokoh belakang tabir yang telah melahirkan atlit seperti Azizul. Kegigihan beliau melatih Azizul, dengan berbekalkan van buruk untuk ke mana-mana pertandingan. Sanggup melakukan pelbagai kerja untuk mendapatkan dana, duit yuran dan petrol. Hingga disaat kematiannya hanya meninggalkan bengkel yang dipenuhi komponen basikal sahaja. Sudah pasti pemergiannya ditangisi Jijoe dan cyclist lain yang pernah mengenalinya. Jijoe pernah berkata “semua orang mengenali John Beasly, tetapi tanpa Jimie, tiadalah saya”.
Kisah kejayaan seseorang sangat berkait rapat dengan siapakah orang yang mpenjadi menunjuk jalan kepadanya. Orang seperti Jimie inilah yang menjadi ‘unsung hero’ kerana mampu membentuk orang seperti Azizulhasni. Mereka memang tidak dikenali ramai. Tetapi merekalah penunjukkan jalan kejayaan. Tiga sebab kenapa Azizul sangat berjaya dalam bidang sukan bebasikal ini.
Pertama:
Ada orang yang menjadi pembimbing seperti Jimie dan John Beasley.
Kedua:
Kertelibatan panjang sejak di awal usia dan abadikan hidup dengan perkara yang diminati menjadikan kejayaan bukan spontan.
Ketiga:
Tujuan yang jelas kenapa beliau terlibat dengan sukan berbasikal menjadikan, putus asa bukan pilihan. Allah berjanji siapa yang istiqamah dengan jalan yang benar pasti mendapat ganjaranya:
وَأَلَّوِ اسْتَقَامُوا عَلَى الطَّرِيقَةِ لَأَسْقَيْنَاهُمْ مَاءً غَدَقً ا
Dan kalaulah mereka istiqamah atas jalannya pasti dianugerahkan sebab sebab kemewahan bagi mereka.
(Jin:16)
Ayuh terus kuat dalam bidang masing-masing, untuk melakar kejayaan diri dan membantu kejayaan orang lain, agar bermanfaat untuk semua.
Assalamualaikum.