HUKUM TIDUR SELEPAS ASAR
Apakah hukum tidur selepas Asar?
Terdapat hadis yang melarang tidur selepas asar.
مَنْ نَامَ بَعْدَ الْعَصْرِ، فَاخْتُلِسَ عَقْلُهُ، فلا يَلُومَنَّ إِلَّا نَفْسَهُ
“Sesiapa yang tidur selepas Asar lalu hilang akalnya, maka janganlah dia mencela melainkan dirinya sendiri.”
الراوي: عبدالله بن عمرو • السيوطي، النكت على الموضوعات (٢٠٦) • ضعيف لا موضوع
Namun hadis ini dihukum dhaif oleh para ulama dan tiada pula didapati adanya hadis sahih yang melarang tidur selepas waktu asar.
Oleh itu hukum tidur selepas Asar adalah harus kerana tidak ada dalil yang sahih melarangnya.
Namun ada sebahagian ulama memakruhkan tidur selepas waktu Asar seperti Dr Wahbah Zuhaili, Syeikh Abdul Karim al-Khudair dan Ibnu Muflih.
Apa yang menarik ada ulama seperti Imam al-Laith bin Saad tidak bersetuju dengan larangan tidur selepas Asar. Ketika seseorang bertanya kepada al-Laith, mengapa beliau tidur selepas waktu Asar dalam bulan Ramadhan? Lalu beliau menjawab, aku tidak akan meninggalkan perkara yang bermanfaat buat diriku (yakni tidur selepas asar) hanya disebabkan oleh hadith Ibn Lahi‘ah لهيعة daripada ‘Uqail عقيل.
Ini menunjukkan ada ulama seperti al-Laith bin Saad yang mengambil pandangan, tidur selepas asar itu tidak mengapa. Kisah al-Laith ini turut disebutkan oleh al-Albani dalam kitabnya Silsilah al-Ahadith al-Dha‘ifah.
Silsilah al-Ahadith al-Dha‘ifah, 1/113.
Kesimpulannya tidak ada sebarang larangan untuk tidur selepas waktu Asar secara sahih. Namun sebahagian Ulama memakruhkannya.
Walau bagaimanapun, jika seseorang itu sangat berhajat untuk tidur pada waktu tersebut, maka ia dibolehkan kerana Allah telah menjadikan tidur untuk kita berehat.
Ustaz Pro
Assalamualaikum
Sumber:
zulkiflialbakri.com
#747 Tidur Selepas Asar