Podcast
Lima perkara yang tidak ada pada kita tetapi dimiliki oleh generasi Islam terdahulu yang hebat. Apakah lima perkara itu?
Assalamualaikum.
Ada lima perkara yang hilang dari umat kini tetapi inilah yang menjadikan umat Islam terdahulu hebat dan wibawa.
Pertama:
Generasi terdahulu memiliki sifat Ithar yakni sanggu mendahulukan kepentingan orang lain sebelum diri sendiri. Sedangkan umat kini memiliki sifat self centered yakni buat apa pun adalah untuk diri sendiri terlebih dahulu dan mahu keuntungan peribadi. Tak sanggup melihat orang lain dapat dulu sebelum kita dapat. Sebab itu kita susah hendak berjaya kerana tidak sanggup orang lain terlebih dahulu mendapat untung sebelum kita.
Kedua:
Perbezaan pendapat menjadi rahmat untuk umat terdahulu kerana dengan perbezaan pandangn itu mereka boleh memilih mana pandangan yang lebih sesuai dengan mereka. Sedang perbezaan pendapat untuk umat hari adalah satu azab kerana masing-masing pihak tidak berlapang dada dan menganggapkan khilaf adalah sebagai senjata menghina pihak lain. Tidak timbul langsung perasaan meraikan perbezaan pandangan.
Ketiga
Umat Islam terdahulu berlumba mencari cara bagaimana untuk menyumbang bagi menguatkan Islam. Timbullah para pencipta muslim yang hebat hinggakan Tamadun Islam dipakai oleh orang lain. Sedangkan kita kini asyik berharap ciptaan dan bantuan orang untuk kita. Bahkan marah bila tidak dapat bantuan dan rasa seronok bila dibantu.
Keempat
Umat terdahulu mencari jalan menutup segala perpecahan bahkan perpecahan dianggap lebih besar dari dosa-dosa lain. Umat kini merasakan perpecahan itu satu nikmat. Dapat mengalahkan pihak muslim yang lain dianggap jihad. Dapat memalukan mereka yang tidak sependapat dengan kita satu kepuasan. Bahkan bila melihat mereka yang kalah berhujah dengan kita maka timbul perasaan bangga.
Kelima
Umat terdahulu tidak rela duduk di bawah sesiapun kecuali Islam. Umat hari ini tidak kisah siapa yang menguasai mereka. Apa yang penting bagi kita kini siapa yang boleh bagi kita makan, kerja, duit dan sebagainya. Tidak kisah sama ada kita menguasai atau dikuasai. Sedangkan prinsip besar Islam takkan redho membiarkan orang lain menyediakan semuanya itu untuk Islam. Jiwa tuan (khalifah) sudah bertukar menjadi jiwa hamba.
Sebab itu tidak pelik kini, nampak seumpama kita sedang mempraktikkan Islam. Sebenarnya kita memang mempraktikan Islam tapi dalam kedudukan yang salah. Dalam hidup ini ada dua level atau darjat. Satu level adalah darjat yang tinggi iaitu mereka yang menguasai dan satu lagi level lagi adalah darjat yang rendah yakni mereka yang dikuasai. Umat Islam memang solat, puasa, zakat,haji dan sebaginya tetapi berada dalam level yang rendah yakni
dikuasai.
Sedangkan para Assabiqunal Awwalun mempraktikkan Islam dalam level atau darjat menguasai. Mereka tidak rela dikuasai.
وَأَنتُمُ ٱلْأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ
Dan kamu adalah orang yang tertinggi jika kamu beriman
(Ali-Imran 139)
Ayuh kita transformasikan kembali untuk kita berada di level menguasai bukan level dikuasai dalam mengamalkan Islam ini. Ketika itu barulah kita di kira sedang berada bersama Rasullullah dan kelompok Muslim yang benar. Ayuh kita terus kuat untuk bekerja meletakkan Islam di tempatnya yang tertinggi melalui usaha kita dan kerja kuat kita. Moga Allah menjadikan ini amal soleh.
Assalamualaikum.