Apakah hukum menggunakan Feng Shui dalam kehidupan?
Feng shui ialah satu seni masyarakat China purba daripada buku I-Ching (Perubahan), sebuah buku klasik tentang ramalan dan falsafah yang muncul sejak 4000 tahun Sebelum Masihi.
Buku ini juga menerangkan secara khusus pemilihan tempat, cara menyusun rumah berdasarkan peta Bagua (peta lapan bahagian yang menentukan aktiviti dan bilik-bilik) untuk menentukan kewujudan aura (energy), membenarkan kewujudan chi (tenaga positif) meresapi ke tempat-tempat yang dipilih, dan membuang cha (tenaga negatif), supaya manusia dapat hidup dengan penuh keserasian bersama alam, menurut kepercayaan mereka.
(Lihat Asrar Taqah Baitik, hIm. 10-18)
Fahaman feng shui ini ada pengaruh yang datang daripada ajaran Taoism, sebuah agama klasik dari Tanah Besar China dan bukan samawi, ajaran ini dikenali dalam Islam sebagai salah satu tanjim (ramalan) dan tidak dibenarkan untuk diamalkan oleh orang Islam dalam rangka menjaga akidah.
Namun ada beberapa amalan dalam ajaran feng shui yang tidak bercanggah dengan Islam.
Seperti aspek Feng Shui yang bersifat fizikal dan praktikal, yang tidak berkaitan dengan kepercayaan ghaib, dan boleh diterima dalam Islam selagi tidak melibatkan unsur khurafat atau syirik.
Contohnya, susun atur rumah yang teratur dan kemas, penggunaan cahaya semula jadi, pengudaraan yang baik, serta pemilihan warna yang menenangkan. Kesemuanya adalah perkara yang dibenarkan dalam Islam jika dilakukan atas dasar mendapat kebaikan.
Begitu juga jika seseorang memilih arah rumah yang sesuai dengan pencahayaan atau tiupan angin kerana faktor iklim, ia adalah rasional dan dibolehkan.
Namun, apabila seseorang meyakini arah rumah tertentu boleh membawa tuah, warna tertentu membawa rezeki, atau patung tertentu boleh menolak bala dan melindungi rumah — maka ini termasuk dalam kepercayaan yang bercanggah dengan Islam.
Islam melarang bergantung kepada selain Allah. Islam melarang kita meyakini adanya pemberi kebaikan dan keburukan selain Allah
Ini dibimbangi menghampiri amaran Rasulullah:
مَنْ أَتَى كَاهِنًا أَوْ عَرَّافًا، فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ، فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
“Sesiapa yang mendatangi tukang tilik atau peramal, lalu mempercayai apa yang dikatakannya, maka dia telah kafir terhadap apa yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.”
Imam Ahmad (no.9532) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak.
Dr Wahbah al-Zuhaili dalam al-Fatawa al-Muasirah berkata: Sesiapa yang pergi kepada tukang sihir dan tidak mempercayainya, maka solatnya tidak akan diterima selama empat puluh malam.
Manakala, sesiapa yang pergi berjumpa dan mempercayainya, maka dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW yang telah diwahyukan oleh Allah SWT kepadanya hal-hal yang ghaib. Tidak ada yang mengetahui hal-hal ghaib kecuali Allah SWT.
(Lihat al-Fatawa al-Mu’asirah, him. 319)
Kesimpulan eloklah ditinggalkan Feng Shui yang memiliki unsur Tanjim yang haram yakni ramalan yang bercanggah dengan Islam. Lagipun dia adalah kepercayaan dari agama Taoisme.
Namun jika aspek Feng Shui yang tidak bercanggah dengan Islam, yang tidak memiliki unsur khurafat dan tahyul maka hati-hatilah dibimbangi takut kita meyakini Feng shui penyebab kebaikan kita. Jika ada unsur begitu maka tinggalkanlah Feng Shui ini.
Ustaz Pro
Assalamualaikum
SUMBER
Al-Inarah #9076: Kepercayaan Feng Shui Menurut Islam